UMP kini dikenali sebagai UMPSA

Mohamed Khaled (tengah) dan Yuserrie (dua, kanan) memegang plakad nama dan penjenamaan baharu UMPSA.
Mohamed Khaled (tengah) dan Yuserrie (dua, kanan) memegang plakad nama dan penjenamaan baharu UMPSA.
A
A
A

PEKAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini dijenamakan sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) selepas 21 tahun institusi pengajian itu diwujudkan

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan penggunaan logo dan nama UMPSA mengikut Warta Kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa pada 14 April lalu.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, penjenamaan universiti kepada UMPSA bertepatan dengan visi universiti ke arah sebuah universiti teknologi terunggul.

Menurutnya, walaupun nama bertukar, bidang fokus utama universiti dan program pengajian serta enrolmen tidak berubah mengikut matlamat tujuan penubuhannya.

“Penjenamaan ini terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik, pengantarabangsaan dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Universiti itu bermula dengan Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (Kuktem), iaitu sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ke-16 diwartakan pada 16 Februari 2002.

Setelah lima tahun beroperasi, kerajaan telah mengumumkan pertukaran nama Kuktem kepada UMP berkuat kuasa 1 Februari 2007.

Ujar beliau, kebolehpasaran graduan universiti itu membanggakan apabila mencapai 98.67 peratus dan antara tertinggi di Malaysia.

Justeru katanya, penjenamaan tersebut juga akan membina keterlihatan, reputasi dan keupayaan universiti seiring dengan perkembangan serta pencapaian universiti yang diiktiraf dunia.


Selain itu, Yuserrie berkata, universiti menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi yang berupaya memperkaya ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi di negara ini.

"Sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA dilihat sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.

"Program kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman dilihat sebagai tanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia," jelasnya.

Katanya, sebagai universiti terbaik dalam rangkaian MTUN, UMPSA akan terus memperlihatkan komitmen universiti di dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Yuserrie menambah, dalam bidang penyelidikan pula, universiti itu memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek-projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran.

Di samping itu, katanya, ia sebagai usaha mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan untuk manfaat masyarakat seiring slogan 'Teknologi untuk Masyarakat'.


Jelas beliau, lebih membanggakan universiti juga berjaya memperkukuh hubungan baik selama 13 tahun menerusi kerjasama akademik antara UMPSA dan institusi pendidikan Jerman, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA).

Menurutnya, kerjasama itu bagi mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman dalam sistem pendidikan teknikal negara dalam program ijazah dual di bidang Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Elektrikal bagi melahirkan lebih ramai graduan yang kompeten yang menyumbang kepada pembangunan negara.

"Ini termasuklah Program Kejuruteraan Perniagaan bersama Mannheim University of Applied Sciences dan lain-lain.
 


"Selain Jerman dan Kazakh National Agrarian University, program Ijazah dual kini diperluas ke China. Pada tahun ini seramai 46 pelajar mengikuti program di Beijing Jiaotong University (BJTU) China bagi mengikuti Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal yang bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara," katanya.