UMNO Kedah buka ruang kepada Phahrolrazi

Phahrolrazi
Phahrolrazi
A
A
A

JERLUN - UMNO Kedah membuka ruang kepada bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi jika beliau mahu bersama parti tersebut untuk meneruskan perjuangan dalam politik.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, mereka juga terkejut dengan pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu selepas memboikot pilihan raya kerana kerusi Parlimen Jerai milik Amanah diberikan kepada DAP di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya rasa itu wajar daripada beliau (memboikot pilihan raya), namun apabila Majlis Tertinggi Amanah membuat keputusan untuk memecat beliau, pada kita itu urusan dan hak parti masing-masing.

"Tapi bagi saya mewakili UMNO Kedah, sekiranya Datuk Phahrolrazi hendak bersama dengan kita, saya mengalu-alukan seperti menadah nyiru ditawarkan stadium kita kemukakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama ahli Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pering dekat sini pada Selasa.

Othman (tengah) ketika sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bersama ahli PDM Kampung Pering, Jerlun pada Selasa.
Othman (tengah) ketika sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bersama ahli PDM Kampung Pering, Jerlun pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas keputusan Amanah memecat Phahrolrazi dan kini pemimpin tersebut bergelar sebagai ADUN Bebas di Kedah.

Othman berkata, Phahrolrazi muncul antara pemimpin yang sudah lama berada di dalam gelanggang politik bersama Pas sebelum menyertai Amanah di negeri ini.

"Saya yakin dengan Datuk Phahrolrazi, ini kerana lama dan faham tentang sepak terajang politik di Kedah. Kalau dia nak bersama kita sudah tentu kita mengalu-alukan beliau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Phahrolrazi menegaskan tidak membuat keputusan secara bersendirian berhubung tindakan memboikot pilihan raya sekiranya calon kerusi Parlimen Jerai tidak diberi kepada Amanah.

Beliau mendakwa keputusan terbabit bukanlah keputusan perseorangan sebaliknya ia dibuat dalam mesyuarat perhubungan Amanah Kedah.

Pada Sabtu, Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff diumumkan sebagai calon di kerusi Parlimen Jerai, satu-satunya kerusi Parlimen yang akan ditandingi DAP di Kedah pada RU15.

Phahrolrazi tidak hadir ketika Majlis Pengisytiharan calon PH Kedah dibuat di Bandar Laguna Merbok sebelum beliau diumumkan dipecat keahlian parti oleh Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli pada Ahad.