'Boikot pilihan raya bukan keputusan saya sendiri' - Phahrolrazi

Phahrolrazi
Phahrolrazi
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menegaskan tidak membuat keputusan secara bersendirian berhubung tindakan memboikot pilihan raya sekiranya calon kerusi Parlimen Jerai tidak diberi kepada Amanah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu mendakwa keputusan tersebut bukanlah keputusan perseorangan sebaliknya ia dibuat dalam Mesyuarat Perhubungan Amanah Kedah.

Disebabkan itu, Phahrolrazi menyifatkan pemecatan dirinya daripada parti itu pada Ahad sebagai satu keputusan yang tidak adil.

"Saya hendak jelaskan bahawa keputusan mengenai memboikot pilihan raya sekiranya Jerai tidak diberi kepada Amanah adalah dibuat oleh Mesyuarat Perhubungan Negeri, bukan keputusan perseorangan.

"Sepatutnya mereka memecat semua jawatankuasa perhubungan, jadi saya rasa atas alasan itu baru adil," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.

Beliau mengulangi pendirian bahawa keputusan berkenaan adalah keputusan dua kali mesyuarat Jawatankuasa Amanah Negeri, sekali gus tidak adil apabila hanya dirinya seorang yang dipecat.

"Saya merasakan prinsip rahmatan lilaalamin sudah tidak berlaku dalam Amanah kerana sepatutnya melalui satu proses mereka perlu menjemput saya, menghadapi pimpinan, ataupun diberi surat notis dahulu untuk beri sebab dan sebagainya tetapi dengan pembentangan dalam satu mesyuarat sudah buat keputusan untuk memecat saya," katanya

Phahrolrazi menyifatkan pemecatan beliau dilakukan pada masa yang tidak sesuai ketika pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan masa sesuai ambil tindakan disiplin dalam keadaan bakal menghadapi pilihan raya, sepatutnya menjemput saya untuk perbincangan supaya mereka dapat memahami politik di Kedah (dan) supaya dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Jadi, saya fikir tindakan dibuat ketika menghadapi pilihan raya, satu tindakan tidak tepat. Pada pandangan saya merugikan kita dan juga untuk PH menang dengan cemerlang di Kedah," katanya.

Phahrolrazi berkata, pemecatan dirinya dilakukan menggunakan peruntukan yang baharu diluluskan tanpa perlu dibawa ke lembaga disiplin dan melalui proses yang panjang.

Ketika ditanya tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemecatan beliau, Phahrolrazi memaklumkan, beliau akan berbincang mengenai perkara itu terlebih dahulu bersama ahli Amanah lain.

"Saya mempunyai ramai rakan sekutu dan kita memasuki Amanah secara kumpulan. Jadi, apabila berlaku kepada saya sebagai boleh dikata pimpinan kepada mereka, apa-apa tindakan selanjutnya saya akan runding dengan mereka yang mana masih berada dalam Amanah pada ketika ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Phahrolrazi menyatakan, beliau terbuka apabila tidak lagi bergelar Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan menyifatkan ia perkara biasa.

Pada Sabtu, Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff diumumkan sebagai calon di kerusi Parlimen Jerai, satu-satunya kerusi Parlimen yang akan ditandingi DAP di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Phahrolrazi tidak hadir di Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah dibuat di Bandar Laguna Merbok sebelum beliau diumumkan dipecat keahlian parti oleh Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli semalam.