Polis rampas 150 liter air ketum

150 liter air ketum yang sudah dibungkus dirampas polis di Taman Pelangi.
150 liter air ketum yang sudah dibungkus dirampas polis di Taman Pelangi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan lima lelaki dan merampas 150 liter air ketum dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Serampang, Taman Pelangi di sini semalam.

Serbuan sekitar jam 4.30 petang itu dilakukan oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan dan Balai Polis Taman Pelangi.

Kesemua lelaki tempatan terbabit berusia antara 26 hingga 52 tahun di mana empat daripadanya mempunyai rekod lampau.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, ketika serbuan, pihaknya mendapat lima lelaki berada di ruang tamu.

Menurutnya, pemeriksaan keseluruhan premis telah menemui 150 liter air ketum, 26 kilogram daun ketum, 10 botol ubat, sebekas tong, tong gas, dapur gas, periuk besar, bekas periuk, sudip kayu panjang, jag plastik, besen plastik, penapis besi, penapis kain dan alat penimbang.

"Tangkapan dibuat ke atas lima lelaki tersebut atas kesalahan memiliki daun ketum dan air ketum.

"Salah seorang tangkapan mengaku terlibat dalam penjualan air ketum dan juga mengaku bahan disyaki air ketum dan daun ketum yang dirampas adalah miliknya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Daun ketum yang ditimbang ditemui dalam serbuan di Taman Pelangi.
Daun ketum yang ditimbang ditemui dalam serbuan di Taman Pelangi.

Shahurinain berkata, bekalan daun ketum tersebut diperolehi daripada seorang lelaki tempatan dikenali dengan nama 'Lan' yang berasal dari Kedah.

Katanya, tangkapan tersebut juga mengaku merebus dan membungkus air ketum di premis terbabit sebelum menjual pada harga RM5 seliter.

"Manakala ubat batuk yang dirampas dibeli di farmasi sekitar kawasan Johor Bahru dan ubat batuk tersebut akan digunakan untuk dicampurkan ke dalam air ketum mengikut permintaan pelanggan.

"Lelaki berusia 26 tahun itu mendapatkan bekalan daun ketum dari seorang lelaki dengan panggilan Lan untuk pengedaran. Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti Lan," katanya.

Beliau berkata, rampasan air ketum adalah sebanyak 150 bungkus dan harga di pasaran bagi sebungkus air ketum RM5.

Premis memproses daun ketum menjadi air ketum yang diserbu polis.
Premis memproses daun ketum menjadi air ketum yang diserbu polis.

"Tempoh pemprosesan air ketum di lokasi premis tersebut sudah lebih kurang dua bulan aktif. Anggaran harga pasaran rampasan keseluruhan daud dan air ketum bernilai RM3,100.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya