Isu ekonomi, kualiti hidup pertaruhan PRU15

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GENDANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang ditunggu-tunggu selama ini telah tiba.

19 November ini akan menjadi penentu hala tuju politik Malaysia untuk lima tahun yang mendatang.

Kelesuan politik yang memenatkan sebelum ini perlu dinokhtahkan pada PRU15 kali ini. Berbeza dengan PRU sebelum ini.

PRU15 kali amat mencabar kepada semua parti politik yang bakal bertanding.

Pasca pandemik Covid-19 memberi satu tugas besar kepada parti yang terpilih nanti.

Kelesuan ekonomi, cabaran kehidupan penduduk merupakan perkara yang perlu diberikan tumpuan utama dalam manifesto yang bakal dibentuk kelak.

Parti yang bakal membentuk kerajaan perlu menghadapi cabaran kemerosotan nilai ringgit pasca Covid-19 yang makin membimbangkan. Penguncupan nilai ringgit sudah pasti memberi tekanan fiskal secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi.

Parti politik yang bertanding perlu membentangkan dengan jelas pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam memulihkan semula ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Ramalan pakar tentang ekonomi 2023 perlu diberi pandangan serius agar negara tidak terjerumus ke krisis sebelum ini. Kenaikan kadar semalaman (OPR) yang mendadak juga perlu diberikan perhatian kerana telah mewujudkan kegusaran di kalangan rakyat.

Walaupun secara makro, kenaikan OPR ini adalah baik kepada ekonomi, namun kesan domestik perlu diambil kira agar seimbang.

Cabaran pengangguran dalam negara yang pastinya memberi cabaran kepada kerajaan kelak.

Golongan pengundi muda pastinya menunggu satu bentuk tawaran terbaik kepada mereka tentang hala tuju dan peluang pekerjaan yang yang munasabah dan mampu dilaksanakan dengan berkesan.

Isu ekonomi lejang (gig economy), keusahawanan sosial (start-up), Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), ekonomi digital yang sedia ada kini perlu diberikan satu penambahbaikan agar kekal relevan dengan suasana ekonomi semasa.

Tambahan pula cabaran untuk menambat hati pengundi 18 yang pertama kali mengundi perlu memenuhi kehendak golongan ini.

Tawaran untuk meningkat kualiti kehidupan penduduk juga perlu menjadi agenda utama dalam tawaran parti politik.

Secara teori, kualiti hidup meliputi elemen pengagihan pendapatan, persekitaran pekerjaan, pengangkutan, komunikasi, pendidikan dan banyak lagi. Namun, pastinya isu harga barangan keperluan harian akan menjadi tumpuan.

Pengundi menantikan tawaran yang mampu memberi jaminan harga keperluan harian dapat dikawal dari aspek bekalan.

Pengundi tidak boleh ditawarkan penyelesaian yang bersifat seperti ubat tahan sakit iaitu subsidi berpanjangan.

Satu polisi yang boleh menjadi jalan keluar konkrit perlu dihidangkan agar isu ini tidak akan berpanjangan.

Isu pendidikan akan menjadi tunjang dalam PRU. Pastinya kehadiran pengundi muda menantikan hala tuju pendidikan yang mampu menempatkan mereka ke pasaran pekerjaan dan juga bentuk pendidikan yang mampu diikuti oleh masyarakat dengan jaminan sistem pendidikan mampu memfokuskan kepada kemenjadian para pelajar.

Dalam isu pendidikan tinggi pula, tidak dapat lari dengan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Hakikat situasi semasa, agak mustahil bagi parti politik untuk menawarkan janji populis seperti penghapusan pinjaman PTPTN.

Ini kerana janji dilihat tidak akan mampu dilaksanakan dalam realiti sebenar. Terbukti dengan janji parti pemerintah dalam PRU14 yang lalu tidak dapat dilaksanakan.

Isu perumahan dan kediaman dijangka menjadi tumpuan. Harga rumah tidak sepadan, kesukaran memperoleh akses pinjaman dan kediaman untuk golongan belia akan diketengahkan.

Walaupun sering kali laporan menunjukkan wujud rumah tidak terjual yang tinggi, namun seolah-olah tidak dinikmati oleh rakyat, isu birokrasi yang berlaku perlu diberikan perhatian. Rakyat menantikan satu polisi yang memudahkan prosesnya.

Walaupun banyak lagi isu utama yang akan dibawa oleh parti yang bertanding, isu ekonomi dan kualiti hidup ini akan menjadi dominan dalam semua manifesto parti-parti nanti.

Kali ini, manifesto yang bersifat menjanjikan bulan dan bintang tidak lagi relevan untuk ditawarkan. Kini, rakyat sedang menunggu mana yang terbaik dengan harapan dapat dilaksanakan walaupun manifesto bukan kitab suci.

* Penulis ialah Pensyarah Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi MARA Shah Alam