[VIDEO] Muda optimis saingi calon 'heavyweight' di Tanjung Piai

Wei Jiet (tengah) mengedarkan pelitup muka di sekitar Pekan Nanas pada Ahad.
Wei Jiet (tengah) mengedarkan pelitup muka di sekitar Pekan Nanas pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Parlimen Tanjung Piai, Lim Wei Jiet, bersedia berdepan saingan calon nama besar atau 'heavyweight' daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wei Jiet berkata, Muda mempunyai strategi tersendiri dan tidak pernah ketandusan idea dalam mendekati pengundi di Parlimen Tanjung Piai yang merupakan kerusi marginal.

"Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) menang tipis tetapi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019, BN menang besar. Justeru kerusi ini merupakan kerusi marginal yang perlu ditawan semula PH.

"Dalam masa sama, saya rasa ia tugas berat kerana kerusi Parlimen Tanjung Piai sudah dipegang BN selama tiga penggal menerusi calon dari MCA iaitu Datuk Seri Wee Jeck Seng yang merupakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

"Tetapi saya tetap yakin dengan kerjasama dan sokongan rakan PH di Tanjung Piai, Muda mampu menarik pengundi," katanya ketika ditemui selepas mengedarkan pelitup muka di sekitar Pekan Nanas pada Ahad.

Wei Jiet
Wei Jiet

Pada Sabtu, Muda mengumumkan tiga calon bagi kerusi Parlimen Kepala Batas (Muhammad Danial Abdul Majeed), P095 Tanjong Karang (Siti Rahayu Baharin) dan P165 Tanjung Piai (Lim Wei Jiet).

Pada PRU14, Jeck Seng, 55, tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik (PH) dengan majoriti tipis 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya pada PRK Tanjung Piai, calon BN, Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi menewaskan pencabarnya iaitu calon PH, Karmaine Saidini.

Dalam pada itu, Wei Jiet yang juga seorang peguam menjelaskan Muda akan memfokuskan kempen di media sosial bagi menarik pengundi luar serta untuk balik mengundi.

"Kebanyakan pengundi bekerja di luar sama ada di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Singapura manakala demografi di Parlimen Tanjung Piai terdiri daripada 60 peratus pengundi Melayu, 39 peratus Cina manakala pengundi India pula satu peratus," katanya.

Beliau juga akan memperkenalkan manisfesto khusus untuk Parlimen Tanjung Piai termasuk polisi untuk warga emas yang memerlukan perlindungan dan penjagaan masyarakat.

"Saya juga tidak sesekali meminggirkan penduduk Tanjung Piai yang lain dengan pergerakan kempen secara rasmi akan digerakkan selepas penamaan calon nanti.

"Antara isu perlu diberi tumpuan di Parlimen Tanjung termasuk peluang pekerjaan, gaji tak setimpal, isu peniaga kecil selain kos hidup yang semakin melambung. Ia antara isu yang diutarakan masyarakat Tanjung Piai," katanya.