PRU15: Bakal calon OKU lepaskan jawatan pensyarah

Calon kerusi Parlimen Putrajaya dari PH, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz ketika Program Perjumpaan Sukarelawan Putrajaya di sini pada Ahad.
Calon kerusi Parlimen Putrajaya dari PH, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz ketika Program Perjumpaan Sukarelawan Putrajaya di sini pada Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bakal calon kerusi Parlimen Putrajaya dari Pakatan Harapan (PH), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz akan melepaskan jawatan sebagai pensyarah secara rasmi pada 4 November ini bagi memenuhi syarat untuk didaftarkan sebagai calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata, tiada istilah gentar untuk berdepan cabaran memastikan PH dapat memenangi kerusi Parlimen itu meskipun perlu bersaing dengan nama besar daripada parti lawan seperti Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

"Saya bukannya orang yang mudah gentar sebab saya sudah susah dari dulu. Saya pernah menjalani 13 pembedahan dan Alhamdulillah otak saya masih berada dalam keadaan baik.

"Saya masih boleh bergerak dan memandu. Hidup saya sangat bermakna, saya tidak pernah gentar terhadap nama dan pangkat seseorang selain tidak gentar lawan nama-nama besar.

"Saya berada di sini hari ini kerana saya percaya boleh lakukan terbaik. Insya-ALLAH, boleh menang (Parlimen)," katanya pada sidang media Program Perjumpaan Sukarelawan Putrajaya di sini pada Ahad.

Kerusi Parlimen Putrajaya disandang oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selama empat penggal berturut-turut sejak 2013.

Noraishah
Noraishah

Bagi PRU15 kali ini, PN mempertaruhkan Mohd Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan, manakala Noraishah pula merupakan antara tokoh profesional kekurangan upaya (OKU) yang ditampilkan PH.

Artikel Berkaitan:

Noraishah merupakan aktivis pesakit spina bifida dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana dalam bidang genetik serta melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah dalam bidang bioteknologi perubatan (pengkhususan developmental neurobiology) di University of London.

Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dilahirkan pada 3 Mei 1975 dan berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM) sejak 1 September 2007.

Dalam masa sama, Noraishah berkata, kekurangan fizikal bukan penghalang untuk beliau mendekati pengundi seterusnya berkhidmat untuk masyarakat andai diberi mandat kelak.

Bahkan, beliau sanggup 'mengesot' untuk bergerak sekiranya keadaan memerlukan selain bersedia berkongsi nombor telefon peribadi kepada pengundi untuk berkomunikasi.

"Walaupun saya berkerusi roda tetapi saya sebenarnya seorang yang lasak. Benda utama yang saya telah lakukan bertahun-tahun lamanya adalah galakkan golongan ibu yang ada anak-anak seperti saya untuk lakukan latihan jasmani.

"Saya sanggup pergi ke mana sahaja dan lawat sesuatu perumahan dalam keadaan bagaimanapun, saya akan cari jalan.

"Jika saya perlu menggunakan tangga dan tidak boleh duduk atas tangga itu, saya akan mengesot menaiki tangga. Sekiranya ada yang membantu untuk mengangkat saya, saya sanggup asalkan niat kita mahu melakukan kebaikan tiada yang mustahil,” katanya.