Pendapatan kami meningkat berlipat ganda hasil bantuan RISDA

A
A
A

Sabihah di hadapan gerai burger yang disumbangkan oleh RISDA.
Sabihah di hadapan gerai burger yang disumbangkan oleh RISDA.

Bantuan yang dihulurkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada usahawan luar bandar, berjaya mengembangkan lagi perniagaan mereka sekali gus meningkatkan pendapatan bulanan.

Pengusaha produk burger bakar dari Pendang, Sabihah Ahmad, 39, berkata, sumbangan sebuah gerai bergerak daripada agensi itu membantunya untuk bergerak lebih jauh berbanding berniaga secara kecil-kecilan di hadapan rumah sebelum ini. Pendapatan bulanannya kini telah mencecah empat angka sejak berniaga di sekitar daerah Pendang dan juga luar daerah tersebut.

“Saya terima sebuah motosikal dengan gerai bergerak daripada RISDA pada 2021. Sejak itu saya boleh bergerak jauh sedikit mencari kawasan tumpuan orang seperti di Pekan Pendang.

“Alhamdulillah, pendapatan meningkat berbanding sekitar RM600 berniaga di depan rumah,” kata ibu kepada lima anak semasa ditemui Sinar Harian di Program Mini KUD Padang Terap, di sini pada Jumaat.

Bantuan daripada RISDA mampu menjadikan jualan Satay Abang Manis cecah lima angka sebulan.
Bantuan daripada RISDA mampu menjadikan jualan Satay Abang Manis cecah lima angka sebulan.

Perkara sama turut dikongsi oleh pengusaha Satay Abang Manis, Muhammad Firdaus Musa, 35, dari Naka. Beliau bermula dengan suka-suka tetapi melalui bantuan RISDA yang diterimanya telah menyaksikan jualan sate kini mencecah lima angka sebulan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bantuan diterima pada 2019 berupa mesin pembuat sate, peti ais dan meja, manakala pada 2020 pula menerima bantuan pembungkusan dan label berjumlah RM25,000.

“Bantuan ini berjaya mengembangkan lagi perniagaan sate saya yang pada awalnya berniaga menggunakan motosikal sahaja. Dengan bantuan RISDA, saya dapat meningkatkan lagi pengeluaran sate sehingga kini mampu membeli sebuah lori terpakai.

“Saya juga kini mempunyai enam pekerja yang membuat sate, manakala empat pekerja lagi menguruskan kedai di Naka,” ujarnya yang merancang mahu membuka sebuah kilang sate dan berharap akan terus mendapat sokongan daripada RISDA.

Bantuan peralatan

.Rosnah mampu menghasilkan produk batik yang pelbagai hasil bantuan peralatan daripada RISDA.
.Rosnah mampu menghasilkan produk batik yang pelbagai hasil bantuan peralatan daripada RISDA.



Bagi pengusaha Batik Sintok, Rosnah Musa, 51, pula, sumbangan daripada RISDA berupa lima buah mesin jahit dan peralatan mencanting batik berjumlah RM20,000 pada tahun 2021, berjaya membantu meningkatkan pengeluaran produk batiknya sekali ganda.

Menurutnya, bantuan peralatan itu juga secara tidak langsung menambah peluang pekerjaan buat penduduk kampung yang terdiri daripada penoreh getah untuk mencari pendapatan tambahan.

“Saya sudah miliki 10 mesin jahit dan tambahan lima lagi mesin jahit memang sangat-sangat membantu dalam meningkatkan pengeluaran produk batik seperti baju, beg, cenderamata dan banyak lagi.

“Saya mempunyai 12 orang pekerja di bengkel batik dan mereka akan datang bekerja selepas pulang daripada menoreh getah,” kata pemilik Bengkel Liyana Batique Collections yang berpusat di Komuniti Kreatif Kampung Lebai Saman, Naka.

Muhammad Nur Ihsan menunjukkan produk Mihani yang dihasilkan syarikatnya
Muhammad Nur Ihsan menunjukkan produk Mihani yang dihasilkan syarikatnya

Sementara itu, Pengurus Nur Ihsan Tijarah Enterprise, Muhammad Nur Ihsan Azizan, 22, mengakui pengeluaran produk yee mee dan perencah mi bandung yang diusahakannya berjaya ditingkatkan selepas mendapat bantuan RISDA sejak tiga tahun lalu.

Jelasnya, bantuan empat buah mesin selain geran daripada RISDA membantu menjimatkan masa dan mempercepatkan pengeluaran sehingga 800 kotak sebulan.

“Kami juga dapat bantuan pembungkusan produk termasuk logo halal yang diuruskan RISDA. RISDA juga banyak membantu dalam mempromosikan produk jenama Mihani ini.

“Saya merancang untuk besarkan perusahaan kami di Kodiang kerana mahu menambah lagi mesin untuk menghasilkan yee mee dalam kuantiti lebih banyak. Kami bercadang untuk mempelbagaikan perisa selain perencah mi bandung,” ujar Muhammad Nur Ihsan.