'Tak tahu arwah anak sarat hamil bayi kembar'

Sharifah Suzi Suriani menunjukkan gambar arwah anaknya, Allahyarham Fatin Hazlin Dahlia bersama Sayyid Uwais Al-Qarni ketika ditemui di kediaman di Kampung Batu Hampar, Manir, di Kuala Terengganu, pada Sabtu.
Sharifah Suzi Suriani menunjukkan gambar arwah anaknya, Allahyarham Fatin Hazlin Dahlia bersama Sayyid Uwais Al-Qarni ketika ditemui di kediaman di Kampung Batu Hampar, Manir, di Kuala Terengganu, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ibu kepada wanita yang maut dalam nahas jalan raya di Setiu pada petang Jumaat tidak menyangka anaknya itu sedang hamil bayi kembar dan usia kandungan sudah mencecah lapan bulan.

Sharifah Suzi Suriani Sayed Anuar, 53, berkata, anaknya, Allahyarhamah Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, tidak pernah menceritakan kepadanya mengenai perkara itu sebelum ini.

"Saya dapat tahu arwah hamil bayi perempuan setelah diberitahu oleh pihak polis ketika di unit forensik Hospital Setiu. Sebelum ini arwah nampak sentiasa ceria, tiada apa-apa alahan.

"Kawan-kawan arwah juga tidak tahu arwah hamil. Sama seperti ketika dia mengandungkan anak ketiganya yang berusia dua tahun dan turut meninggal dunia (Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman). Arwah tidak banyak bercerita," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Batu Hampar, Manir, di sini, pada Sabtu.

Sharifah Suzi Suriani memberitahu, Fatin Hazlin Dahlia bersama suami, Mohd Lekman Zakaria, 36 dan empat anak (termasuk seorang anak angkat) sedang dalam perjalanan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan untuk janji temu rawatan susulan Sayyid Uwais Al-Qarni yang mengalami penyakit saraf.

Katanya, kebiasaannya mereka sekeluarga akan bertolak seawal jam 3 atau 4 pagi namun semalam (Jumaat) mereka bertolak awal sehari sebelum janji temu pada Sabtu.

"Sebelum bertolak, saya sempat bertemu arwah jam 12 tengah hari semalam pada majlis kenduri di kampung ini.

"Ketika itu arwah nampak ceria sahaja dan saya sempat berbual dengan arwah dan tiga cucu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Sharifah Suzi Suriani, dia difahamkan pada mulanya kereta dinaiki arwah anaknya itu dipandu menantunya (Mohd Lekman) namun terpaksa bergilir dengan arwah apabila sampai di Chalok, Setiu kerana Mohd Lekman terlalu mengantuk.

Fatin Hazlin Dahlia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian setelah Perodua Alza dipandunya hilang kawalan sebelum bertembung dengan treler tangki minyak di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Bintang, Setiu kira-kira jam 4.40 petang.

Anak Allahyarham Fatin Hazlin Dahlia, Sayyid Uwais Al-Qarni turut dilaporkan meninggal dunia pada petang Jumaat.
Anak Allahyarham Fatin Hazlin Dahlia, Sayyid Uwais Al-Qarni turut dilaporkan meninggal dunia pada petang Jumaat.

Bayinya, Sayyid Uwais Al-Qarni pula dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang ketika dalam perjalanan ke Hospital Setiu.

Seorang lagi penumpang iaitu Muhammad Arsyad Syahiran Mohd Agil, 9, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Tiga lagi penumpang iaitu Mohd Lekman mengalami patah kaki, luka-luka manakala dua lagi anaknya iaitu Nur Qaireen Luffiya, 5, masih dirawat di ICU manakala Sayyid Lutfi, 7, patah tangan kiri dan kini dirawat di HSNZ.

Sharifah Suzi Suriani berkata, jenazah anak dan cucunya itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu Hampar, di sini selepas Asar pada Sabtu.

"Walaupun masih bersedih, saya sekeluarga reda dengan pemergian mereka. Arwah pergi pada hari baik. Dalam keadaan yang baik. ALLAH SWT lebih menyanyangi mereka.

"Terima kasih atas doa, bantuan dan keprihatinan semua rakyat Malaysia terhadap anak dan cucu saya," katanya.

Sayyid Uwais Al-Qarni atau lebih mesra digelar Adam sebelum ini tular di media sosial kerana menghidap penyakit 'myelomeningocele with encephalocoele' dan kedudukan otaknya berada di luar tempurung.