Wanita maut, bayi parah MPV bertembung treler

Keadaan Perodua Alza dipandu mangsa yang terlibat nahas di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Bintang, di Setiu, pada Jumaat. Gambar kecil: Fatin Hazlin Dahlia (kanan) bersama bayinya, Sayyid Uwais Al-Qarni
Keadaan Perodua Alza dipandu mangsa yang terlibat nahas di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Bintang, di Setiu, pada Jumaat. Gambar kecil: Fatin Hazlin Dahlia (kanan) bersama bayinya, Sayyid Uwais Al-Qarni
A
A
A

SETIU - Seorang wanita maut manakala bayinya dan seorang lagi penumpang cedera parah setelah kereta dipandu bertembung treler dalam kejadian di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Bintang, di sini, pada Jumaat.

Nahas berlaku kira-kira jam 4.40 petang itu menyebabkan mangsa, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bayinya, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman dan Muhammad Arsyad Syahiran Mohd Agil, 9 mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler yang dipandu dari arah Chiku, Gua Musang menghala ke Kuala Terengganu, manakala Perodua Alza dipandu mangsa dari arah Manir menghala ke Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

"Apabila tiba di lokasi kejadian kereta dipandu mangsa yang membawa lima penumpang telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler.

"Pemandu treler, Azman Ismail, 35, tidak mengalami kecederaan manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas," katanya.

Menurut Afandi, tiga lagi penumpang iaitu suami kepada Fatin Hazlin Dahlia, Mohd Lekman Zakaria, 36, mengalami luka-luka sementara dua lagi anaknya iaitu Nur Qaireen Luffiya, 5, patah paha kiri dan Sayyid Lutfi, 7, patah tangan kiri.

"Lima penumpang Perodua Alza dihantar ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,"katanya.