Kerusi DUN Changkat Jong perlu kekal milik Amanah

Ahmad Munzirie dan laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Ahmad Munzirie dan laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A
TELUK INTAN - Kerusi DUN Changkat Jong perlu kekal menjadi milik Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Parti Amanah Kawasan Teluk Intan, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, ia selepas DUN Pasir Bedamar yang berada dalam Parlimen Teluk Intan telah ditandingi oleh DAP serta kerusi Parlimen Teluk Intan.

"Kami menerima banyak pertanyaan daripada pengundi di Changkat Jong berkenaan kedudukan sebenar kerusi DUN.

"Kami ingin menjelaskan bahawa penetapan semua kerusi yang ditandingi Amanah mewakili Pakatan Harapan (PH) adalah seperti yang telah diumumkan dalam Majlis Pengumuman Calon Amanah Perak oleh pengerusi merangkap Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional.

"Di peringkat Amanah Teluk Intan, kami tidak menerima sebarang perubahan melibatkan DUN Changkat Jong daripada Jawatankuasa Amanah Negeri Perak mahupun kepimpinan di peringkat nasional," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Ahmad Munzirie, mengikut persefahaman bersama, bagi kerusi DUN Changkat Jong, persetujuan dicapai untuk diberikan kepada Amanah berdasarkan komposisi dua kerusi DAP dan satu kerusi Amanah.

"Mesyuarat terakhir yang kami hadiri juga menetapkan DUN Changkat Jong adalah milik Amanah dan calon yang dipersetujui di semua peringkat adalah Dr Muhaimin Sulam," ujarnya lagi.



Beliau berkata, kesiapsiagaan jentera untuk DUN Changkat Jong juga telah berada pada tahap yang terbaik dan kerja-kerja awal menghadapi tempoh berkempen telah pun dibuat.

Justeru katanya, pertikaian atau perebutan kerusi Changkat Jong seharusnya tidak timbul dan harus dihormati oleh semua parti anggota dalam PH.

Kerusi DUN Changkat Jong menjadi pertikaian selepas Amanah turut menamakan calon bagi bertanding di kawasan berkenaan menerusi Naib Pengerusi Amanah negeri, Dr Muhaimin Sulam.
Artikel Berkaitan:


DAP pula mengumumkan Setiausaha Publisiti DAP Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin iaitu muka baharu sebagai calon di kerusi tersebut.