DAP, Amanah rebut kerusi Changkat Jong

Dari kiri: Muhaimin, Badrul Hisham
Dari kiri: Muhaimin, Badrul Hisham
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] DAP mengesahkan keputusan meletakkan calon parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong setelah mendapat persetujuan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu disepakati secara konsensus antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum berlangsungnya Konvensyen Harapan di Ipoh pada 20 Oktober lepas.

"Ini keputusan yang telah dicapai secara konsensus di peringkat kepimpinan tertinggi. Saya bersama Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan Mohamad Sabu disaksikan Ketua Setiausaha Sekretariat PH (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail).

"Dari segi senarai calon telah dimuktamadkan di peringkat parti dan kerusi kita tanding juga telah dimuktamadkan bersama kepimpinan tertinggi.

"Kita bukannya mengumumkan sesuatu yang belum ada keputusan. Sebagai Setiausaha Agung apabila sampai ke majlis, sudah tentu keputusan-keputusan itu telah pun dimuktamadkan," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon DAP bagi kerusi DUN dan Parlimen di Perak di sini pada Jumaat.

Anthony mengumumkan Badrul Hisham sebagai calon kerusi DUN Changkat Jong pada PRU15.
Anthony mengumumkan Badrul Hisham sebagai calon kerusi DUN Changkat Jong pada PRU15.

Kerusi DUN Changkat Jong menjadi pertikaian selepas Amanah turut menamakan calon bagi bertanding di kawasan berkenaan menerusi Naib Pengerusi Amanah negeri, Dr Muhaimin Sulam.

DAP pula mengumumkan Setiausaha Publisiti DAP Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin iaitu muka baharu sebagai calon di kerusi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Anthony berkata, DAP tidak dimaklumkan mengenai pengumuman Amanah berhubung kerusi itu kerana ia dilakukan di peringkat negeri dan bukan pusat.

Justeru, pihaknya mahu perkara itu diselesaikan secara dalaman oleh pimpinan Amanah negeri.

"Mungkin berlaku sedikit salah faham. Dalam hal ini, tidak akan timbul pertembungan antara DAP dan Amanah.

"Hanya ada satu calon PH di setiap kerusi yang kita tandingi kerana watikah pelantikan akan diselaraskan di peringkat pusat," katanya.

Anthony (tengah) pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon DAP bagi kerusi DUN dan Parlimen di Perak pada Jumaat.
Anthony (tengah) pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon DAP bagi kerusi DUN dan Parlimen di Perak pada Jumaat.

Pada PRU14, calon BN, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berjaya mempertahankan kerusi DUN Changkat Jong dengan majoriti tipis 67 undi dalam saingan tiga penjuru mengalahkan calon Pas dan Bersatu.

Kerusi DUN Changkat Jong berada dalam kawasan Parlimen Teluk Intan bersama DUN Pasir Bedamar, masing-masing disandang calon DAP iaitu Nga Kor Ming dan Terence Naidu.

Pada PRU15 ini, DAP mengumumkan bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 19 DUN iaitu penambahan satu kerusi masing-masing di peringkat Parlimen dan DUN.

Penambahan itu membabitkan DUN Changkat Jong dan Parlimen Gerik yang diwakili dua muka baharu calon Melayu mengambil kira kedua-dua kawasan berkenaan mempunyai majoriti pengundi Melayu.