PRN: 23 kerusi DUN Selangor dalam tangan PN - Azmin

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

GOMBAK - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin sebanyak 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sudah berada dalam tangan parti itu.

Menurutnya, penelitian tersebut dibuat berdasarkan keputusan diwarta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Jika diteliti skor diwarta SPR, sebanyak 14 kerusi telah dimenangi PN dan sembilan kerusi lagi kita kalah kurang daripada 5,000 undi. Ada juga yang PN kalah dengan 100 undi sahaja.

"Maknanya, kita hanya perlu 1,000 hingga 2,000 undi sokongan. Dengan situasi semasa, saya yakin kerusi-kerusi ini mampu ditawan PN.

"Ini menjadikan jumlah dalam tangan ada 23 kerusi dan untuk mencapai 30 atau lebih, ia satu perkara yang boleh diusahakan," katanya pada Majlis Silaturrahim Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, di Taman Selaseh Fasa 2 pada Sabtu.

Sebelum ini, Pas Selangor menyasarkan PN negeri itu akan menang 33 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.

Berhubung perkara tersebut, Mohamed Azmin berkata, sasaran Pas itu bagaimanapun dianggap realistik dan mampu dicapai.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang membentuk jawatankuasa manifesto untuk meneliti isu-isu rakyat yang akan dibentangkan.

"Menjadi hasrat PN di Selangor untuk memberikan tumpuan kepada isu ekonomi, pekerjaan, alam sekitar dan menjadikan negeri ini sebagai hab pelaburan dan perdagangan bagi rantau ini.

"Insya-ALLAH kita akan adakan konvensyen Pilihan Raya PN Selangor pada pertengahan Jun ini.

'Antara perkara yang akan dibahaskan mengenai kos sara hidup dan langkah PN menangani isu berkenaan jika diberi mandat," katanya.

Sebanyak enam negeri akan terlibat PRN meliputi Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang tempoh penggal bakal berakhir Jun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memberitahu, tarikh pembubaran yang dipersetujui bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di enam negeri terlibat adalah pada minggu ketiga atau keempat bulan sama.

Bagaimanapun katanya, tarikh pembubaran di negeri itu tertakluk kepada perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.