'Sultan Melaka' kekal tidak bersalah

Noor Jan (kiri) dan Shaharudin di perkarangan Kompleks Mahkamah Melaka selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Julai tahun lalu.
Noor Jan (kiri) dan Shaharudin di perkarangan Kompleks Mahkamah Melaka selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Julai tahun lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Mahkamah Tinggi Melaka hari ini, mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen tahun lalu untuk melepaskan dan membebaskan ahli perniagaan Noor Jan Tuah, 62, terhadap empat tuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka, enam tahun lalu.

Hakim, Datuk Ahmad Nasfy Yasin pada akhir penghakimannya hari ini berkata, pihak pendakwaan yang diwakili tiga Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad, Nabilalif Mohd Rosli dan Mazuin Hashim gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Noor Jan, malah keempat-empat saksi yang ditampilkan pihak pendakwa juga menolak mereka ditipu.

“Selepas mahkamah meneliti keterangan direkodkan dalam rekod rayuan perayu (Timbalan Pendakwa Raya), didapati bahawa Hakim Bicara (Mahkamah Sesyen) membuat satu keputusan dan dapatan faktanya tepat dan selamat apabila memutuskan perayu gagal mewujudkan prima facie.

“Saksi dibawa pihak pendakwaan juga mengakui mereka bukan mangsa tipu ekoran penyamaran responden (Noor Jan). Maka setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak dan alasan penghakiman hakim bicara, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan hakim bicara dan perintah itu kekal," kata Ahmad Nasfy pada akhir penghakimannya.

Sepanjang perbicaraan, Noor Jan diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali, dan pihak pendakwaan memanggil 16 saksi dan empat mangsa.

Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, melepas dan membebaskan Noor Jan daripada empat pertuduhan menipu dan menyamar Sultan Melaka pada Majlis Istiadat di A'Famosa Resort Melaka, pada jam 10 malam, 28 Disember 2013.

Keputusan itu dibuat Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki terbabit yang didakwa di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: