'Rafizi serang peribadi saya' - Saifuddin

Saifuddin Abdullah.
Saifuddin Abdullah.
A
A
A

KUANTAN - Penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah terkilan atas tuduhan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dalam satu ceramah di Indera Mahkota pada Selasa lalu.

Beliau menyifatkan tuduhan yang dilemparkan Rafizi berhubung beberapa isu berkaitan kemasukannya dalam PKR, tidak membuat kerja di Parlimen Indera Mahkota termasuk mencerca dan membenci penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar disifatkan sebagai serangan peribadi.

"Saya terkilan saudara Rafizi yang mengambil kesempatan untuk menyerang saya secara peribadi. Nama ayah saya beliau sebut tidak betul.

"Nama ayah saya Abdullah bukan Dolah, jadi kita harus berhemah (dalam kata- kata), kalau pun kita tidak menyukai seseorang," katanya ketika sidang akhbar bagi menjawab tuduhan Rafizi terhadapnya ketika menyampaikan satu ceramah di Indera Mahkota Selasa lalu.

Rafizi dalam ceramahnya mendedahkan isu terbabit, selain menggesa pengundi Indera Mahkota untuk memastikan kemenangan tidak lagi berpihak kepada bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Rafizi bukan individu yang membawanya menyertai PKR pada 2015, sebaliknya seorang ahli akademik yang namanya perlu dirahsiakan.

"Individu ini yang mengaturkan pertemuan saya dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu Presiden PKR dan anaknya, Nurul Izzah Anwar di rumahnya di Segambut, Kuala Lumpur. Seterusnya pertemuan saya dengan Timbalan Presiden PKR, (pada ketika itu), Datuk Seri Azmin Ali.

"Jadi kalau hendak kata saya mungkin ada berbincang dengan beliau (Rafizi) hendak masuk PKR itu saya tidak nafikan, ramai pun saya berbincang tentang hendak masuk PKR.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi orang sebenarnya yang membawa saya masuk PKR adalah ahli akademik itu dan namanya dikenali Wan Azizah, Nurul Izzah dan Azmin. Saya percaya Rafizi pun kenal dan begitu juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelas beliau.

Saifuddin menegaskan beliau tidak pernah mengata mahu pun mencerca mana-mana individu termasuk Khairy Jamaluddin.

"Bila masa saya pergi mencerca orang, mengata orang. Kalau ada tolong ingatkan saya takut saya terlupa, tapi bukan cara saya jenis mengata dan mengeji orang," katanya.

Menyentuh mengenai gesaan Rafizi supaya pengundi Indera Mahkota tidak mengundinya, Saifuddin berkata, parti belum buat keputusan sama ada beliau akan bertanding di Indera Mahkota atau tidak.

"Rafizi pun tidak tahu. Apa yang saya tahu, saya telah cuba sedaya upaya dan faham ada juga kelemahan saya terutama melibatkan jumlah masa yang saya habiskan di kawasan.

“Sebagai Menteri Luar, saya banyak di luar negara namun sebolehnya saya akan balik juga. Orang Indera Mahkota tahu saya balik dan pasukan saya juga sentiasa menjalankan tugas mereka sebaiknya. Rakyat dan pengundi Indera Mahkota mengenali saya,” jelas Saifuddin lagi.

Pada PRU14, Saifuddin menang kerusi Parlimen Indera Mahkota dengan majoriti 10,950 undi.

Ketika itu, Saifuddin mewakili Pakatan Harapan (PH) mendapat 28,578 undi menewaskan calon BN, Datuk Dr Johan Mat Sah (17,628 undi) dan calon Pas, Nasrudin Hassan (17,515 undi).