Anggota bomba tidak mengaku minta, terima rasuah

Tertuduh (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan bagi menghadapi dua pertuduhan kes rasuah pada Khamis.
Tertuduh (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan bagi menghadapi dua pertuduhan kes rasuah pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penolong penguasa bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah RM3,000 berhubung lesen perniagaan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada sebuah syarikat, November tahun lalu.

Mohd Nor Abdullah, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia selaku pegawai badan awam berjawatan penolong penguasa bomba didakwa telah meminta dan memperoleh untuk dirinya, suapan iaitu wang RM3,000 daripada seorang lelaki berusia 36 tahun, sebagai dorongan untuk mendapatkan sokongan daripada pihak bomba bagi memperoleh lesen perniagaan daripada MPK kepada sebuah syarikat, pada 30 November dan 1 Disember 2021.

Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mana kedua-dua kesalahan tersebut boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Mohd Aliff Shahruzaman manakala tertuduh diwakili peguam, PG Cyril.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 November depan.

Artikel Berkaitan: