Inspektor, lima anggota polis direman kes minta rasuah

Seorang pegawai dan lima anggota polis direman enam hari bermula pada Sabtu oleh Mahkamah Majistret Temerloh bagi membantu siasatan membabitkan kes meminta rasuah.
Seorang pegawai dan lima anggota polis direman enam hari bermula pada Sabtu oleh Mahkamah Majistret Temerloh bagi membantu siasatan membabitkan kes meminta rasuah.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang inspektor dan lima anggota polis yang bertugas di bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut direman enam hari bermula pada Sabtu oleh Mahkamah Majistret Temerloh bagi membantu siasatan membabitkan kes meminta rasuah.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohamed Shah Reza Noor Azman selepas meneliti permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 48 tahun masing-masing ditahan selepas tangkapan dibuat ke atas mereka di pejabat SPRM cawangan Temerloh.

Selain seorang berpangkat inspektor polis yang berusia 36 tahun, lima anggota lagi termasuk seorang berpangkat sarjan mejar, dua koperal dan dua lans koperal.

Penahanan tersebut dibuat antara jam 2.25 petang hingga jam 2.50 petang pada Jumaat selepas selesai hadir memberikan keterangan.

Kesemua suspek disyaki menggunakan kedudukan sebagai anggota polis di IPD Jerantut (bahagian Narkotik) dengan meminta rasuah berupa wang sebanyak RM5,000.

Permintaan itu dipercayai dilakukan kesemua suspek sebagai balasan untuk menyelesaikan kes serbuan dan menjumpai air ketum di rumah pengadu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika bersama pengadu pada 3 Mei lalu, jam 10.30 pagi.

Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.