Semua mangsa nahas helikopter selamat dikeluarkan

Mohd Yusri (duduk, tengah) ketika sidang akhbar di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands pada Rabu.
Mohd Yusri (duduk, tengah) ketika sidang akhbar di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands pada Rabu.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Kesemua mangsa nahas helikopter yang terhempas di Hutan Simpan Bukit Kinta berhampiran Brinchang di sini selamat dikeluarkan dari lokasi kejadian.

Mangsa yang terlibat, juruterbang helikopter, Fedzrol Norazam, 43, mengalami kecederaan di kepala; Munirah Abd Rahman, 53, cedera di bahagian belakang dan abdomen; Zainurol Fazlan Zainudin, 40, cedera di kepala; Muhamad Azlan Hanifah, 31, cedera di kepala.

Dua lagi mangsa yang mengalami cedera parah ialah Norhasikin Abu Seman, 38, patah kaki kanan dan Hashilawati Hussi, 43, mengalami kecederaan di tempurung lutut dan patah bahu kanan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa pertama yang dibawa keluar merupakan juruterbang helikopter pada jam 5.35 petang dan mangsa terakhir dibawa keluar pada 8.40 malam.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas helikopter terbabit tamat jam 9.30 malam.

"Mangsa menghubungi sendiri ke pusat kawalan dan rakan di luar untuk mendapatkan bantuan. Kita pun mendapat maklumat daripada mangsa.

"Kesemua mangsa ditemui pada jam 3.58 petang di lokasi lebih kurang 400 meter dalam sempadan Perak. Ketika ditemui, kesemua mangsa berada di luar helikopter," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands di sini pada Rabu.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Pegawai Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Abdul Rahman

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jelas beliau, seramai 127 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, bangkai pesawat akan diserahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk siasatan lanjut.