SEADG 2022: MsDeaf harap lebih banyak sokongan

Kamarzaman (tengah) menerima penajaan daripada wakil Knusford Berhad untuk SEADG 2022 selepas sidang akhbar di IYC pada Rabu. -Foto: asiana.my
Kamarzaman (tengah) menerima penajaan daripada wakil Knusford Berhad untuk SEADG 2022 selepas sidang akhbar di IYC pada Rabu. -Foto: asiana.my
A
A
A

ENAM negara menyahut cabaran di edisi sulung temasya Sukan Orang Pekak ASEAN (SEADG) 2022 yang dijadualkan menyingkap tirai di Kuala Lumpur bermula 21 hingga 27 November ini.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MsDeaf), Ong Shin Ruenn berkata, selain Malaysia selaku tuan rumah, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Brunei akan mengambil bahagian dalam empat acara temasya kali ini.

"Empat jenis sukan yang akan dipertandingkan di temasya anjuran MsDeaf dengan kerjasama ADSF ini adalah futsal, badminton, tenpin boling dan olahraga.

"Di sini, kami juga berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang telah memberi persetujuan sukan orang pekak ASEAN diadakan di Malaysia.

"Pada masa sama MsDeaf mengalu-alu penglibatan syarikat dan sektor korporat untuk penajaan bagi memeriahkan serta melicinkan penganjuran edisi sulung ini," katanya pada sidang akhbar SEADG 2022 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) pada Rabu.

Sementara itu, Presiden ADSF, Kamarzaman Harun, memuji komitmen tinggi kerajaan Malaysia dan MsDeaf dalam merealisasikan penganjuran edisi sulung ini.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih daripada ADSF kepada Malaysia kerana telah berusaha penganjuran sukan ini yang julung-julung kalinya diadakan di rantau ASEAN," katanya.

Artikel Berkaitan: