Tiga pasangan diberi notis kerana berkelakuan tidak sopan

Bahagian Penguatkuasaan JHEAT melakukan pemeriksaan dalam Operasi Pemantauan dan Pencegahan Maksiat.
Bahagian Penguatkuasaan JHEAT melakukan pemeriksaan dalam Operasi Pemantauan dan Pencegahan Maksiat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Enam individu yang didapati berkelakuan tidak sopan di tempat awam diberi notis supaya hadir ke Pejabat Agama Daerah dalam Operasi Pemantauan dan Pencegahan Maksiat selama dua hari bermula Ahad.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Adnan Abdullah berkata, individu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan itu berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

“Mereka didapati duduk berdua-duaan terlalu rapat tanpa sebarang ikatan sah.

"Buat masa ini kita ambil pendekatan pencegahan iaitu notis arahan hadir ke untuk sesi khidmat nasihat,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Menurut Md Adnan, arahan tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (2001) Terengganu iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelas Md Adnan, operasi pencegahan maksiat sempena cuti umum perayaan Deepavali itu tertumpu kepada pemeriksaan berwaran di hotel-hotel dan pemantauan perbuatan tidak sopan di tempat awam sekitar bandar raya ini.

“Ia melibatkan 20 anggota Bahagian Penguatkuasaan JHEAT dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan daerah Kuala Terengganu dan dibantu pegawai penguat kuasa syariah (sukarela) bermula jam 9 malam hingga 3 pagi.

Artikel Berkaitan:

“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari masa ke masa bagi membendung sebarang perlakuan dan aktiviti tidak bermoral daripada berleluasa di negeri ini,” katanya.