Mesin penapis air milik Siti Bainun tidak rosak, kata saksi

Siti Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi prosiding kes menganiaya seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella, pada Rabu. - Foto Bernama
Siti Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi prosiding kes menganiaya seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang Pegawai Penyiasat, Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa tiada kerosakan berlaku pada mesin penapis air milik pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Asisten Superintenden Rohaini Baharom berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan siasatan daripada kesemua dokumen yang diterima daripada syarikat penapis air.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-20 (SP-20) berkata demikian ketika prosiding kes Siti Bainun yang didakwa atas kesalahan menganiaya, mengabaikan Bella, 13, sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, saksi itu berkata, mesin penapis air tertuduh bagi tempoh Mac hingga Jun 2021 didapati tiada kerosakan.

“Ia berdasarkan dokumen yang diterima melalui e-mel daripada seorang ketua eksekutif sumber manusia syarikat penapis air itu pada 11 November 2021,” katanya.

Keterangan saksi pendakwaan itu menyanggah cadangan oleh peguam Siti Bainun sebelum ini bahawa Bella dipancut dan dicurah air panas adalah rekaan semata-mata kerana penapis air itu rosak sejak Mac 2021.

Sedangkan peguam itu berkata, remaja sindrom Down itu didakwa didera di antara Februari dan Jun 2021.

Sebelum ini, saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun pernah mengarahkannya untuk mengambil picagari berisi air panas kemudian dipancutkan pada Bella.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun pada prosiding selepas itu, remaja itu mengakui bahawa lecur pada badan Bella adalah disebabkan tumpahan air termos dan bukannya daripada mesin penapis air.

Sementara itu, Rohaini turut ditanya oleh seorang lagi peguam, Nurul Hafidzah Hassan mengenai dokumen penyelenggaraan mesin penapis air.

Nurul Hafidzah: Puan, rujuk ruangan tandatangan pada dokumen penyelenggaraan mesin penapis air ini, saya cadangkan itu bukan tandatangan Siti Bainun.

Rohaini: Tidak setuju.

Nurul Hafidzah: Maksudnya huruf ‘M’ itu tandatangan Siti Bainun?

Rohaini: Saya tidak pasti.

Nurul Hafidzah: Jadi, bagaimana puan tahu siapa yang tandatangan dokumen ini?

Rohaini: Berdasarkan pengesahan daripada juruteknik syarikat mesin penapis air.

Dalam pada itu, saksi pendakwaan ke-21, bekas juruteknik penyelenggaraan mesin penapis air, Azrin Aisyah Mohd Razi, 32, memberitahu mahkamah bahawa, ketika pemeriksaan mesin penapis air di rumah tertuduh pada 17 Mei 2021, dia mendapati alat berkenaan berada dalam keadaan baik.

Menurutnya, ia berdasarkan suhu panas dan sejuk air itu selain tahap pH air berada pada garis panduan yang ditetapkan oleh syarikat.

“Takat suhu panas air mesin penapis itu biasanya sekitar 86 hingga 90 darjah Celsius.

"Selepas servis dijalankan selama 20 minit, saya minta Siti Bainun untuk menurunkan tandatangan di borang penyelenggaraan mesin penapis air, di ruang pelanggan,” katanya.

Prosiding bersambung Khamis.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.