'Jangan perjudikan pendidikan negara' - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi (Gambar kecil: Tangkap layar kenyataan Asyraf Wajdi di Facebook pada Rabu).
Asyraf Wajdi (Gambar kecil: Tangkap layar kenyataan Asyraf Wajdi di Facebook pada Rabu).
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya Suruhanjaya Pendidikan Nasional ditubuhkan dan bidang kuasanya ditentukan melalui akta khusus.

Menurut beliau, ahli-ahli dilantik hendaklah daripada kalangan ahli akademik, guru pakar, wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), wakil ibu bapa serta pakar pendidikan lain.

Asyraf Wajdi berkata, fungsi suruhanjaya ini bagi menetapkan silibus dan memastikan laluan pendidikan anak-anak adalah tepat.

"Menteri atau timbalannya tidak boleh campur tangan sepertimana sebelum ini sehingga menggadaikan kedudukan anak bangsa untuk kepentingan politik.

"Bagi BN, perkara paling utama adalah dengan meletakkan semula pendidikan anak-anak ini kepada ahlinya. Jangan sesekali memperjudikan pendidikan negara," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Sementara itu, menurut Asyraf Wajdi, faktor paling utama sedang diberi perhatian oleh rakyat adalah kualiti pendidikan negara selain ekonomi.

Katanya, terdapat empat isu yang sering dibincangkan iaitu kekurangan guru, kesesakan kelas, silibus atau sistem yang sering bertukar mengikut menteri dan masalah beg berat.

"Masalah kekurangan guru ini mula muncul sejak 2013 apabila Kementerian Pendidikan ketika itu mahu merombak Institut Pendidikan Guru (IPG). Boleh rujuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Artikel Berkaitan:

"Menteri Pendidikan ketika itu adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini adalah antara kesilapan ketika itu termasuk kontrak-kontrak yang dilihat berat sebelah semasa beliau menjawat jawatan menteri terutama 1BestariNet yang didapati gagal akibat kecuaian dan kelemahan tadbir urus," dakwa beliau.

Asyraf Wajdi berkata, BN akan menilai pelan itu bagi memastikan IPG diperkasa dan ditambah serta bukannya dirombak atau cuba ditutup ketika zaman Pakatan Harapan (PH).

"Bagi isu kesesakan kelas, ia sebenarnya berkadar langsung dengan jumlah sekolah baru dan naik taraf sekolah sedia ada.

"Kerajaan BN pada awal 2018 telah mengesan masalah ini dan telah merancang pembinaan 30 buah sekolah baru pada tahun tersebut.

"Namun selepas kejatuhan BN, jumlah purata pembinaan sekolah baru hanyalah antara lapan hingga 10 buah setiap tahun," katanya.

Beliau mendakwa, lebih buruk adalah pada zaman PH apabila kerajaan pusat ketika itu mensyaratkan kerajaan Sarawak untuk membayar hutang negeri terlebih dahulu sebelum dana membaiki sekolah daif disalurkan ke negeri berkenaan.

Tambah beliau, isu silibus yang mudah bertukar apabila menteri silih berganti juga adalah sesuatu yang menjengkelkan.

"Kita jangan lupa apabila usaha-usaha menormalisasikan 'jasa komunis' ketika kemerdekaan dimasukkan ke dalam buku teks beberapa tahun lepas.

"Ini merosakkan akar bangsa dan jati diri anak-anak. Menanam jarum halus yang mengelirukan bagi memenuhi ideologi politik sesetengah pihak," katanya.