Hormati keputusan Annuar Musa - Ketua Pemuda UMNO

Dr Muhammad Akmal
Dr Muhammad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menghormati keputusan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang menidakkan jemputan untuk menyertai parti itu semula.

Menurut beliau, usul Pemuda UMNO bagi parti memperhalusi dan mempertimbangkan kemasukan kembali pemimpin yang berada di luar parti telah disambut baik oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sewaktu penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Tular ucapan Annuar yang menidakkan jemputan (menyertai UMNO) itu dan mahu menyertai Pas. Itu hak beliau yang kami hormati.

“Kami percaya sejak dilantik menjadi senator dan menteri dan diberi peluang menjadi ahli Parlimen bagi mewakili parti, pasti banyak memberi kelebihan buat Tan Sri dan orang di sekeliling,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook miliknya, pada Isnin.

Pada masa sama, Muhamad Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada Annuar dan semua ahli yang telah keluar daripada landasan perjuangan luruh itu di atas sumbangan terhadap parti.

Tambah beliau, barisan kepimpinan anak muda akan terus kekal setia memperjuangkan UMNO.

“Pemimpin datang dan pergi, Insya-ALLAH kami barisan anak muda dan pemimpin pelapis yang tidak pernah memegang jawatan besar seperti Tan Sri (Annuar) akan terus kekal setia untuk bersama membina ‘rumah kita’ yang banyak berjasa pada kita ini.

“Kami akan bina dengan semangat yang pernah Tan Sri titipkan buat kami orang muda untuk terus setia dan berkhidmat menjaga rumah kita ini ketika beliau menjadi ahli UMNO dahulu,” ujarnya.