Hajiji sambut baik cadangan wakil TPM dari Sabah

Hajiji (tiga dari kiri) ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Deepavali di Kota Kinabalu.
Hajiji (tiga dari kiri) ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Deepavali di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik cadangan yang dikemukakan BN berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah.

"Kita sokong, itu bagusnya, supaya kita ada satu wakil sebagai TPM dari Sabah.

"Kita cari betul-betul yang boleh tahanlah (berkeupayaan)," katanya ringkas kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra Deepavali 2022, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya cadangan BN yang mahu memasukkan jawatan TPM dari Sabah ke dalam manifesto BN Sabah bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, ditanya mengenai pembahagian kerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN, beliau sebagai Pengerusi GRS memaklumkan ia sudah selesai.

"Kita akan umumkan tidak lama lagi, mungkin beberapa hari sebelum penamaan calon," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyifatkan cadangan tiga TPM termasuk dari Sabah sebagai 'sudah lama tertangguh'.

Beliau yang mengalu-alukan cadangan itu berkata, isu pelantikan TPM bagi Sabah dan Sarawak telah dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MKMA63) kerana permintaan daripada rakyat Sabah dan Sarawak agar kerajaan Persekutuan pertimbangkan cadangan itu.

"Malah, Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu sedang melihat perkara mengenai status sama rata Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menegaskan bahawa PBS sebagai ahli dalam GRS menyokong sepenuhnya cadangan itu.

"Ia sudah tertunggak dan ia selaras dengan peruntukan Perlembagaan untuk memberikan status sama rata kepada Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

"Selepas PRU15 selesai, PBS akan mencadangkan isu ini sebagai agenda pertama mesyuarat MKMA63 pertama iaitu meluluskan cadangan tiga TPM di Malaysia.

"Ia akan mewakili Malaysia baharu. Ia boleh menjadi lonjakan besar bagi Persekutuan Malaysia dan saya yakin ia akan dipersetujui sebulat suara oleh MKMA63," katanya yang juga penyandang kerusi Ahli Parlimen Kota Marudu.

Sebelum itu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN Sabah harus mencadangkan jawatan TPM dari Sabah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dimasukkan ke dalam manifesto.