Maqis sumbang 80 tan hasil sitaan produk sejuk beku

Siti Nur menyerahkan produk sejuk beku hasil rampasan kes yang dilucutkan hak bagi bulan Mac sehingga Oktober tahun ini kepada wakil Penjara Marang, Terengganu pada Ahad.
Siti Nur menyerahkan produk sejuk beku hasil rampasan kes yang dilucutkan hak bagi bulan Mac sehingga Oktober tahun ini kepada wakil Penjara Marang, Terengganu pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) melupuskan 80 tan produk sejuk beku bernilai RM434,000 hasil rampasan kes yang dilucutkan hak bagi bulan Mac sehingga Oktober tahun ini.

Maqis menerusi satu kenyataan memaklumkan, produk sejuk beku itu dilupuskan dengan cara serahan untuk sumbangan bekalan makanan haiwan kepada beberapa jabatan dan agensi termasuk penjara.

Kenyataan itu memaklumkan, semua serahan itu adalah hasil sitaan terhadap pengimportan keluaran pertanian yang dibawa masuk secara tidak sah dari pelbagai negara dan telah melalui proses lucut hak di bawah kesalahan Seksyen 11 (1) serta Seksyen 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Penyerahan disempurnakan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Penguatkuasaan Maqis, Siti Nur Ahmad kepada Penjara Marang Terengganu, Penjara Pengkalan Chepa dan Machang, Kelantan dan Penjara Penor Pahang.

Majlis penyerahan yang diadakan di Penjara Marang, Terenganu pada Ahad itu turut dihadiri Pengarah Maqis Negeri Pahang dan Terengganu, Hisham Abu Bakar.

"Maqis komited melaksanakan tanggungjawab sosial untuk membantu dan memberi sumbangan kepada mana-mana agensi atau jabatan yang memerlukan seperti pihak zoo dan penjara.

"Produk sejuk beku sitaan yang disumbangkan itu akan dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli bagi projek rehabilitasi banduan di penjara serta sumber makanan haiwan di zoo dan pusat konservasi hidupan liar.

"Inisiatif sumbangan bekalan makanan haiwan di bawah program MAFI Prihatin ini diharap dapat membantu pihak yang terlibat dalam menampung sumber bekalan makanan haiwan di bawah seliaan mereka," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut memaklumkan, Maqis tegas menguatkuasakan undang-undang dalam memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak serta penyakit berbahaya dapat dibendung serta dikawal di semua pintu masuk negara.

Langkah itu bagi memastikan industri pertanian dan penternakan negara bebas daripada sebarang risiko keselamatan dan penyakit.