Cadangan anak Najib untuk selesaikan isu Kampung Baru

Tangkap layar hantaran di Facebook Nooryana pada Ahad.
Tangkap layar hantaran di Facebook Nooryana pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa mencadangkan kerajaan untuk menggunakan model pembangunan semula yang pernah dilaksanakan bapanya bagi menyelesaikan isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, model dimaksudkan itu adalah pelan pembangunan semula kerjasama awam-swasta yang berjaya dilaksanakan sebelum ini untuk projek Residensi Kerinchi dan 1Razak Mansion yang juga terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Menurutnya, cadangan penyelesaian itu membabitkan pemilik kediaman di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru di Kampung Baru yang dilaporkan tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan diterima kerana dianggap tidak mencukupi bagi membolehkan mereka membeli kediaman baharu.

“Saya harap BN akan pertimbangkan untuk menggunakan model sedia ada pada era Najib Razak bagi menyelesaikan masalah penghuni flat PKNS Kampung Sungai Baru dan juga untuk semua projek pembangunan semula flat lama seluruh negara sekiranya BN menang Parlimen Titiwangsa dan PRU15 secara keseluruhannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Nooryana berkata, melalui model tersebut, penghuni asal flat Residensi Kerinchi dan 1Razak Mansion mendapat gantian kediaman baharu di pangsapuri dengan keluasan dan nilai unit lebih tinggi yang dibina di tapak asal.

Pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang terletak di bawah Parlimen Titiwangsa adalah membabitkan kawasan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman iaitu Flat PKNS dan rumah di tanah persendirian.

Difahamkan, 70 peratus pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu dan menurunkan tandatangan.

Pada Ogos 2021, segelintir penduduk yang belum menurunkan tandatangan menerima notis siasatan di bawah Borang F, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang diminta hadir secara giliran pada 23 hingga 26 Ogos untuk diambil keterangan penilaian oleh PTG.

Artikel Berkaitan:

Pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun, difahamkan segelintir penduduk tidak bersetuju dengan pampasan ditawarkan, iaitu RM240,000 hingga RM260,000 bagi unit flat dan kira-kira RM400 sekaki persegi bagi kategori rumah teres.

Dalam pada itu, Nooryana berkata, isu pembangunan semula tanah di kawasan Kampung Baru dijangka akan digunakan oleh calon bakal bersaing di Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad antara nama dijangka turut bersaing merebut kerusi Parlimen Titiwangsa ialah Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.