Penggiat seni popularkan budaya, tradisi Malaysia

Muhammad Nasir (berdiri depan, tiga dari kiri) bersama peserta dan tetamu Simposium Warisan Perdana sempena Program TTOK 2022 pada Ahad.
Muhammad Nasir (berdiri depan, tiga dari kiri) bersama peserta dan tetamu Simposium Warisan Perdana sempena Program TTOK 2022 pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Penggiat seni antara individu penting yang mampu mempopularkan tradisi dan budaya negara ini melalui medium mereka.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, golongan itu yang banyak menggunakan media moden boleh menarik minat masyarakat terutama dalam dan luar negara mengenali tradisi Malaysia.

"Banyak elemen yang boleh dikongsi melalui drama termasuk hidangan makanan tradisional dalam babak lakonan serta memilih lokasi menarik di kawasan tertentu.

"Kesemua elemen itu boleh menarik pelancong untuk mengenali lebih banyak kuih-muih tradisional dan kawasan pelancongan di negara ini," katanya.

Muhammad Nasir berkata demikian ketika menjadi panel menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Media Kreatif dalam Industri Seni Warisan Budaya sempena Simposium Warisan Perdana sempena Program Temasya Orang Kampung (TOK) 2022 di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan, Rosnan Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi TOK 2022, Nik Abdul Aziz Nik Mohamad.

Muhammad Nasir menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Media Kreatif dalam Industri Seni Warisan Budaya sempena Simposium Warisan Perdana sempena Program TOK 2022 pada Ahad.
Muhammad Nasir menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Media Kreatif dalam Industri Seni Warisan Budaya sempena Simposium Warisan Perdana sempena Program TOK 2022 pada Ahad.

Muhammad Nasir turut memberi contoh, filem Korea dan Turki yang banyak memasukkan elemen makanan dan lokasi sehingga dikenali di dunia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penggunaan media moden secara meluas itu sekali gus membantu ekonomi penduduk tempatan yang menjual makanan tradisi.

"Kajian juga mendapati ramai pengguna media sosial aktif di Instagram, TikTok dan YouTube yang secara tidak langsung boleh meluaskan lagi penyampaian secara bermanfaat.

"Inilah kuasa media kreatif dan kita boleh memanfaatkannya secara maksimum untuk membentuk minda masyarakat," katanya.

Tambah beliau, ramai yang tidak mahu ketinggalan dengan menggunakan saluran media moden termasuk parti politik, usahawan dan pendakwah.

Muhammad Nasir berkata, media di negara ini juga perlu bebas supaya dapat berkarya dengan sempurna.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, program tiga hari yang bermula Jumaat itu bertujuan memperkenalkan semula warisan tradisi Kelantan kepada masyarakat.

Menurut beliau, antara yang diketengahkan kepada orang ramai ialah permainan dan makanan tradisional, jualan pakaian dan tikar mengkuang serta demonstrasi masakan.

"Lebih 4,000 peminat wayang kulit, mak yong dan dikir barat hadir untuk menyaksikan persembahan itu semalam (Sabtu).

"Ramai yang mahu mengenali tradisi ini tetapi kami memperkenalkan persembahan yang tiada unsur mistik dan lebih kepada memberi pengajaran," katanya.