PNB umum persaraan Tun Arifin sebagai Pengerusi Kumpulan

Tun Arifin
Tun Arifin
A
A
A

SHAH ALAM - Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan persaraan Tun Arifin Zakaria sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) berkuat kuasa pada 6 Mei lepas.

Persaraan itu dibuat selepas Tun Arifin menamatkan penggal perkhidmatannya selama dua tahun.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Tun Arifin yang dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan PNB pada 2021 telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan tadbir urus syarikat.

“Di bawah kepimpinan beliau, PNB telah membangunkan rangka kerja dalaman bagi menilai pengarah dan ketua eksekutif, serta mentauliahkan kakitangan kritikal syarikat pelaburannya bagi memastikan kekuatan Lembaga Pengarah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Tun Arifin turut menerajui dan membimbing PNB dalam inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Pada April 2022, PNB melancarkan Rangka Kerja Kelestarian PNB, yang bertujuan untuk menyampaikan manfaat bukan sahaja kepada pihak berkepentingannya tetapi juga untuk pasaran yang lebih luas dan negara.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tun Arifin bagi pihak Lembaga Pengarah dan warga PNB.

"Perkhidmatan dan kepimpinan cemerlang beliau sejak dua tahun lalu telah memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan PNB, ASNB, dan Kumpulan Syarikat PNB.

“Pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam amat berharga dan kami berterima kasih atas legasi yang beliau tinggalkan,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan Pengerusi Kumpulan PNB yang baharu akan dibuat oleh YPB dalam masa terdekat.