Kerajaan kenal pasti tanah di Sarawak tempatkan MAWILLA 4

Mohd Reza. - Foto Bernama
Mohd Reza. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan sedang mengenal pasti tanah yang sesuai untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membangunkan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak bagi mengukuhkan keselamatan dan pengoperasian di kawasan Malaysia Timur.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, Bintulu telah dipilih bagi menempatkan MAWILLA 4 kerana lokasinya yang strategik dari segi kedudukan dan pemusatan operasi maritim di Laut China Selatan.

"Apabila tanah sudah dikenal pasti kita akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk proses pemilikan tanah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Eksesais Mega TLDM (Ex Kerismas) di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pembangunan MAWILLA 4 telah lama dihasratkan bagi meningkatkan keupayaan dan sokongan operasi TLDM di perairan negara khususnya di Sarawak.

"TLDM merancang untuk menempatkan kapal dan pesawat bersesuaian di MAWILLA 4 bagi meningkatkan pengawasan dan keselamatan perairan Laut China Selatan, selain mengekang pencerobohan daripada anasir luar," tambahnya.

Mengulas mengenai Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lepas, Mohd Reza berkata, selaras dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan penambahan 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Bagaimanapun, ia tak dapat dilaksanakan kerana keutamaan kerajaan. Saya masih berharap peningkatan bajet untuk ATM khususnya TLDM dapat direalisasikan juga disebabkan senario geopolitik yang sentiasa berubah dan tidak menentu.

"Aset ATM khususnya TLDM sudah berusia dan kurang daya tempur. Tanpa peruntukan bajet yang mencukupi ia menjejaskan keupayaan TLDM untuk kekalkan tahap kesiagaan yang tinggi dan tidak mampu memberi tindak balas terhadap ancaman seperti yang dikehendaki oleh rakyat serta kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai Ex Kerismas, beliau berkata, ekesais itu berlangsung selama 21 hari bermula 3 Oktober 2022 hingga Ahad ini di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan sekitar Laut China Selatan.

"Eksesais intra TLDM terbesar ini dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif yang disasarkan. Ini merupakan eksesais tahunan terpenting kepada TLDM bagi menguji tahap kesiagaan dan keupayaan ArmadaTLDM dalam melaksanakan operasi maritim berintensiti tinggi," tambahnya.

Menurutnya, Ex Kerismas melibatkan 2,073 anggota TLDM bersama 23 kapal, sebuah kapal selam, sebuah Submarine Rescue Ship, empat helikopter, dua pesawat Unmanned Aircraft System, elemen Pasukan Khas Laut (Paskal) dengan sokongan tujuh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia. - Bernama