DZAS: Menabung untuk pendidikan

AZLAN. Foto: ROSLI TALIB/SINAR HARIAN
AZLAN. Foto: ROSLI TALIB/SINAR HARIAN
A
A
A

PUSAT Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan Kempen Skim Didik Zakat dan Simpan SSPN Prime.

Penolong Pengurus Besar Khidmat Pelanggannya, Azlan Shaari berkata, kempen dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini sudah bermula 1 September lalu dan dijangka berakhir pada 31 Ogos tahun depan.

Menurutnya, ia bertujuan untuk menggalakkan pembayar zakat PPZ-MAIWP dan pendeposit akaun Simpan SSPN Prime khususnya di Wilayah Persekutuan mendidik anak-anak mereka tentang kewajipan menunaikan zakat, selain meningkatkan tahap kesedaran menabung bagi tujuan pendidikan menerusi Skim DZAS.

Azlan berkata, pembayar zakat yang menyertai kempen berpeluang menikmati insentif menarik seperti sumbangan pendidikan, pembukaan akaun Simpan SSPN Prime secara percuma dan sumbangan Skim Kafalah Muzakki (khairat kematian) sehingga RM3,000.

Menurutnya, kempen ini berbeza dengan kempen-kempen pernah dianjurkan, di mana pada kali ini pendedahan zakat diterapkan pada awal usia anak-anak.

"Kami menyediakan pelbagai insentif istimewa kepada peserta skim antaranya, 5,000 peserta terawal akan menerima sumbangan pendidikan daripada PPZ-MAIWP bernilai RM100 seorang setiap tiga tahun sekali dan akan didepositkan terus ke akaun Simpan SSPN Prime sehingga penerima manfaat berumur 18 tahun.

"Seramai 3,000 peserta skim terawal yang belum membuka akaun Simpan SSPN Prime akan ditaja oleh PPZ-MAIWP dan PTPTN untuk pendaftaran pembukaan akaun Simpan SSPN Prime sebanyak RM20.

"Peserta skim yang telah membuka akaun dan membayar zakat di PPZ-MAIWP dalam tempoh kempen juga layak mendapat tajaan," kata Azlan ketika ditemui pemberita di Pejabat PPZ-MAIWP di ibu negara.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, peserta juga akan menerima sumbangan Skim Kafalah Muzakki atau khairat kematian di mana sekiranya berlaku kematian ke atas pembayar zakat, waris boleh menerima wang sehingga RM3,000.

Selain itu, terdapat pelbagai keistimewaan lain turut disediakan PTPTN untuk pendeposit akaun Simpan SSPN Prime.

Ujarnya, sempena kempen ini, peserta perlu membayar zakat harta melalui saluran pembayaran zakat di PPZ-MAIWP mengikut kadar sebenar jumlah taksiran atau membayar serendah RM100 seorang dalam tempoh kempen.

"Pendaftaran Skim DZAS mesti melalui ibu, bapa atau penjaga dengan memastikan anak-anak sama ada anak kandung atau anak angkat berumur 15 tahun dan ke bawah pada tahun semasa 2022 dan 2023," katanya.

Borang penyertaan Skim DZAS boleh didapati secara atas talian di https://dzas.zakat.com.my dan pautan tersebut juga boleh didapati di portal rasmi PPZ-MAIWP dan PTPTN sementara status pendaftaran akan dimaklumkan kepada ibu, bapa atau penjaga melalui e-mel oleh PPZ-MAIWP.

Untuk maklumat lanjut mengenai skim ini orang ramai khususnya di Wilayah Persekutuan boleh terus melayari https://dzas.zakat.com.my.