Pelepasan cukai pendapatan untuk pendeposit Simpan SSPN

Norliza (tengah) bersama pengamal media Pulau Pinang pada majlis makan malam penghargaan pada Jumaat.
Norliza (tengah) bersama pengamal media Pulau Pinang pada majlis makan malam penghargaan pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN – [DIKEMAS KINI] Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) akan terus menikmati pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga 2024.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun merupakan insentif istimewa kepada pendeposit.

Menurutnya, manfaat itu menjadikan Simpan SSPN satu-satunya produk memberikan kelebihan berbeza berbanding simpanan lain.

“Saya mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan melalui Simpan SSPN ini dilanjutkan sehingga tahun 2024.

“Saya optimis insentif ini akan meningkatkan motivasi serta galakan kepada ibu bapa untuk terus membuat simpanan bagi tujuan pendidikan dan masa depan anak-anak sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama media di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Majid dan Pengarah PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Norliza menyeru orang ramai mengambil peluang membuat simpanan melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit.

Katanya, Ibu bapa yang ingin membuka atau membuat penambahan simpanan boleh dilakukan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Beliau berkata, sejak Simpan SSPN dilancarkan, sambutan yang diterima amat positif daripada masyarakat Malaysia.

Jelasnya, sehingga 31 Mei lalu, jumlah terimaan deposit Simpan SSPN adalah sebanyak RM15.28 bilion melibatkan sebanyak 5.92 juta akaun telah direkodkan.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan Simpan SSPN dilanjutkan sehingga tahun 2024.

Dengan pengumuman tersebut, pendeposit Simpan SSPN akan terus dapat menikmati keistimewaan berkenaan disamping manfaat lain yang disediakan.