LBS rancang fasa pertumbuhan baharu, jualan belum dibil cecah RM1.03 bilion

LBS Bina Group Berhad (LBS) merancang fasa pertumbuhan baharu menerusi pelaksanaan projek pembangunan hartanah strategik, disokong jualan belum dibilkan sebanyak RM1.03 bilion setakat 31 Oktober 2026.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pembangunan hartanah kekal menjadi teras perniagaan Kumpulan, manakala peningkatan sumbangan daripada segmen pembinaan dan perdagangan turut menyokong pendapatan syarikat.
Menurutnya, The Reserva di Kwasa Damansara dikenal pasti sebagai antara pemacu utama pertumbuhan jangka panjang Kumpulan, dengan fasa pertama projek itu disasarkan untuk dilancarkan pada 2027.
“Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8.3 bilion, kami percaya projek ini berpotensi menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan jangka panjang Kumpulan, di samping peluang pembangunan lain dalam lingkungan bank tanah kami yang luas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehingga 17 November 2026, LBS mencatatkan jualan hartanah sebanyak RM971 juta dan tempahan jualan berjumlah RM345 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFYE2026), Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM961.7 juta, keuntungan sebelum cukai (PBT) RM102.4 juta dan keuntungan selepas cukai serta kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM48.7 juta.
Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM814.7 juta, bersamaan kira-kira 85 peratus daripada jumlah hasil Kumpulan, manakala PBT berjumlah RM95 juta.
Sumbangan utama segmen itu antaranya daripada projek LBS Alam Perdana dan KITA @ Cybersouth di Selangor serta Centrum Iris di Cameron Highlands.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FYE2026), LBS mencatatkan hasil sebanyak RM324.7 juta, PBT RM34 juta dan PATMI RM16.6 juta.
Segmen pembangunan hartanah menyumbang hasil RM268.6 juta dan PBT RM28.3 juta, manakala segmen pembinaan dan perdagangan turut memberikan sokongan kepada prestasi Kumpulan.
Mengulas perkembangan projek, Hock San berkata, LBS turut melihat potensi pertumbuhan menerusi KLOOP, pembangunan komersial berbilang fasa di Klebang, Melaka, dengan anggaran GDV melebihi RM400 juta.
Jelasnya, pembangunan seluas 27.3 ekar yang terletak di Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka itu dirancang sebagai destinasi komersial dan gaya hidup bagi memperkukuh portfolio hartanah komersial jangka panjang Kumpulan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemeteraian perjanjian penyewaan bersama MYDIN bagi pembukaan pasar raya pertama di KITA @ Cybersouth merupakan perkembangan positif dalam memperkukuh ekosistem komersial perbandaran berkenaan.
Katanya, kemudahan itu turut melengkapi pembangunan KITA Avenue Square yang sedang berjalan.
LBS turut menyambut baik cadangan pelanjutan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama di bawah Belanjawan 2027 sehingga 31 Disember 2030.
Menurut Hock San langkah berkenaan dijangka mengurangkan kos awal pemilikan rumah, sekali gus menyokong permintaan terhadap kediaman mampu milik dan segmen pasaran pertengahan.
Setakat 17 November 2026, Kumpulan mempunyai bank tanah seluas 3,893 ekar bagi meneroka peluang pembangunan baharu yang memenuhi permintaan pasaran serta mempunyai potensi pertumbuhan mampan.
“Keutamaan kami adalah menterjemahkan peluang pembangunan ini kepada hasil nyata melalui pelaksanaan projek yang berkesan, penawaran produk bersesuaian dengan pasaran serta strategi pelancaran tepat pada masanya.
“Kami kekal komited untuk memperkukuh asas pendapatan Kumpulan secara berperingkat dan memberikan nilai mampan jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

