48,183 permohonan PerantiSiswa zon selatan diluluskan

Dr Adham (tengah) bersama penuntut UTM ketika Majlis Agihan Peranti Mahasiswa Keluarga Malaysia di UTM Skudai, Johor Bahru pada Rabu.
Dr Adham (tengah) bersama penuntut UTM ketika Majlis Agihan Peranti Mahasiswa Keluarga Malaysia di UTM Skudai, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 48,183 daripada 84,050 permohonan untuk program PerantiSiswa di zon selatan diluluskan setakat ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, baki permohonan program itu yang memperkasa penggunaan teknologi dalam pembelajaran dengan rangkaian 5G sedang dalam proses kelulusan.

Menurutnya, kerajaan menerusi Digital Nasional Bhd (DNB) akan memastikan rangkaian 5G dapat diperluaskan ke seluruh negara dalam kadar segera.

"Capaian rangkaian 5G yang meluas itu dapat melengkapi program PerantiSiswa yang memperkasa penggunaan teknologi dalam pembelajaran.

"Pemberian ini bukan sahaja diberikan kepada penuntut universiti awam semata-mata, tetapi melibatkan pelajar politeknik, kolej komuniti, tingkatan enam dan universiti swasta yang tergolong daripada keluarga B40," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai di sini pada Rabu.

Seramai 3,608 mahasiswa UTM layak menerima tablet tersebut.

Menurut Dr Adham, negara kini dalam proses berubah ke arah 5G dan untuk itu peranti sedia ada perlu ditambah baik.

"Jadi, dalam tempoh transisi antara 4G kepada 5G ini, kita kena bersedia setelah ia berakhir hujung tahun ini dalam Program Jendela," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha itu perlu dilaksanakan pada tahun depan kerana bantuan berkenaan adalah kejayaan besar Keluarga Malaysia dalam membekalkan peranti untuk membantu penuntut.

Tambah Dr Adham, pihak universiti boleh membuat permohonan kepada kerajaan untuk mempercepatkan proses perluasan 5G di kampus bagi tujuan pembelajaran.

"Saya minta kalau boleh UTM membuat rayuan supaya percepat keberadaan 5G di kampus agar maklumat dan rekod boleh diperoleh dengan pantas," katanya.

Pada Selasa, enam pengendali rangkaian mudah alih (MNO) negara dijangka memeterai perjanjian akses masing-masing dengan DNB untuk memajak rangkaian 5G syarikat itu menjelang akhir bulan ini.

Pada awal bulan ini, enam MNO iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, YTL Communications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd dilapor mencapai persetujuan mengenai terma perjanjian akses itu.