Mekanik lumpuh terselamat hukuman gantung edar dadah

Seorang mekanik yang disabitkan kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.53 gram terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan pada Rabu melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.- Gambar hiasan
Seorang mekanik yang disabitkan kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.53 gram terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan pada Rabu melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.- Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang mekanik yang disabitkan kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.53 gram terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan pada Rabu melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said dalam melepas dan membebaskan Ben Khaled Abd Molok memutuskan sabitan mengedar dadah terhadapnya tidak selamat.

Beliau berkata, terdapat salah arah oleh hakim Mahkamah Tinggi yang tidak mempertimbangkan kegagalan pihak pendakwaan untuk memastikan kehadiran saksi material yang telah ditawarkan kepada pihak pembelaan selepas mahkamah mengarahkan Ben Khalid membela diri.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

Ben Khaled yang lumpuh dari pinggang ke bawah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 atas kesalahan mengedar dadah di sebuah bengkel kereta di Jalan Tago, Taman Perindustrian Tago, Sri Damansara, Gombak, Selangor pada 4 petang, 12 Februari 2019.

Sementara itu, lelaki berusia 42 tahun itu yang berkerusi roda, menarik semula rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta tiga sebatan rotan kerana memiliki 0.73 gram nimetazepam.

Dia telah selesai menjalani hukuman penjara tetapi dibawa kembali ke penjara untuk menjalani hukuman sebat.

Peguamnya, Afiffuddin Ahmad Hafifi berkata, berikutan keadaan semasa anak guamnya, pegawai perubatan perlu mengesahkan bahawa Ben Khaled sihat sebelum hukuman sebat boleh dilaksanakan ke atasnya.

Artikel Berkaitan:

Seksyen 21 Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan bahawa mahkamah boleh mengikut budi bicaranya menggantikan hukuman sebat pesalah kepada hukuman penjara, katanya.

Menurut seorang lagi peguam Ben Khaled, Hafizuddin Salehuddin, Ben Khaled lumpuh pada 2020 akibat tuberkulosis yang menjejaskan tulang belakangnya.

Hakim Kamaludin kemudian memberitahu peguam Ben Khaled bahawa anak guamnya boleh merujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan arahan lanjut atau menggantikan hukuman sebat itu jika dia disahkan tidak layak.

Timbalan Pendakwa Raya Eu Ghim Siang mewakili pihak pendakwaan. - Bernama