Polis berjaya selesai sembilan kes pecah kenderaan

Antara barang kes yang dirampas dipercayai hasil kegiatan curi. - Foto PDRM
Antara barang kes yang dirampas dipercayai hasil kegiatan curi. - Foto PDRM
A
A
A

SERDANG - Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes pecah kenderaan di sekitar Lembah Klang dengan tertangkapnya seorang lelaki tempatan di sekitar Puchong, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa mendakwa cermin keretanya dipecahkan dan barang berharga dicuri di kawasan parkir medan selera Everyday, Pusat Bandar Puchong, di sini.

"Hasil maklumat risikan Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Puchong telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun disyaki melakukan kegiatan pecah cermin kereta sejak bulan Ogos lalu.

"Modus operandi suspek adalah bergerak sendirian dan menyasarkan kereta yang diparkir di kawasan gelap lalu memecahkan cermin sisi belakang untuk mencuri barang berharga," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Anbalagan berkata, hasil soal siasat, suspek yang merupakan seorang penganggur itu mengaku menjual barangan berharga hasil curi berkenaan secara dalam talian.

"Hasil soal siasat polis berjaya menemukan pelbagai barang berharga disyaki hasil jenayah pecah cermin kereta di sekitar Lembah Klang.

"Antara yang berjaya dirampas adalah beberapa buah telefon bimbit, 'power bank', beg, pelbagai mata wang asing dan sebuah kereta jenis Proton Persona dengan nilai keseluruhan sekitar RM13,000," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk pemutar skru, pembaris elektronik dan lampu suluh dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan jenayah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semakan mendapati suspek yang berasal dari Kuala Lumpur berkenaan dan menetap di sekitar Petaling Jaya mempunyai 28 rekod jenayah lampau.

"Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan akan direman sehingga Khamis," ujar beliau.