PBT diarah buka jalan ditutup atasi kesesakan di Lembah Klang

Ahmad Zahid bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) Bil 1/ 2023 di Bangunan Perdana Putra pada Selasa.
Ahmad Zahid bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) Bil 1/ 2023 di Bangunan Perdana Putra pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Masalah utama kesesakan trafik di Lembah Klang dikenal pasti berpunca daripada penutupan jalan dan sebahagian lorong jalan untuk kerja-kerja pembinaan.

Justeru kerajaan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang yang terlibat dengan jaringan jalan raya ke ibu kota dan Putrajaya mengenal pasti dan membuka semua jalan yang ditutup dalam tempoh dua minggu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu perlu bagi memastikan aliran trafik bergerak lancar.

"Penutupan jalan raya akibat pembinaan jalan dan bangunan perlu dikurangkan, malah laluan alternatif perlu diwujudkan untuk elak kesesakan trafik.

“Kita minta PBT kenal pasti semua jalan yang ditutup ini dan dibuka kembali pada kadar segera, ada yang dah ditutup lama, polis pun mengadu ada yang ditutup dua, tiga tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) Bil 1/ 2023 di Bangunan Perdana Putra pada Selasa.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, PBT juga perlu mengenai pasti jalan yang boleh dibuat kontra flow seperti yang dilakukan di Kajang, Jalan Cheras ataupun Putrajaya,

“PBT juga kena tengok jalan mana lagi boleh buat kontra flow, kita nak buka lebih banyak kontra flow,” jelasnya.

Tambahnya, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya juga akan menggunakan pendekatan dan strategi besifat 'quick win' yang akan dilaksanakan segera.

“Ini termasuk menambahbaik dan memperluaskan penyediaan bas henti-henti, pengantara, menambah pengangkutan awam alternatif seperti on demand Services, e-hailling dan pengintegrasian mod pengangkutan awam (bus/rel) dan menambah akses kemudahan pejalan kaki ke stesen bas,” ujarnya.

Jelasnya, dalam mesyuarat itu, empat kertas kerja telah dibentangkan merangkumi struktur tadbir urus, terma rujukan, output utama dan pelaksanaan kerja utama.

“Jawatankuasa ini melantik Kementerian Pengangkutan sebagai sekretariat utama dengan keanggotaan terdiri daripada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan turut melibatkan beberapa pihak berkuasa tempatan antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.