Masjid Jerimbong perlu RM250,000

Masjid Mukim Jerimbong berusia 80 tahun di Kuala Balah, Jeli memerlukan dana RM250,000 untuk menaik taraf kemudahan.
Masjid Mukim Jerimbong berusia 80 tahun di Kuala Balah, Jeli memerlukan dana RM250,000 untuk menaik taraf kemudahan.
A
A
A

JELI - Ahli Jawatankuasa Masjid Mukim Jerimbong, Kuala Balah di sini sedang berusaha mengumpul dana bagi menaik taraf rumah ibadah berusia 80 tahun itu.Bilal Masjid Mukim Jerimbong, Zulkifli Mat Zain berkata, kerja-kerja menaik taraf itu bertujuan memberi kemudahan kepada para penduduk untuk melakukan aktiviti selain solat berjemaah.

Menurut beliau, tahun bersilih ganti, masjid tersebut semakin usang sehinggakan atap bocor, pendawaian harus ditukar dan penambahbaikan perlu dilakukan.

“Bagi memastikan semuanya berjalan lancar, dana sebanyak RM250,000 diperlukan bagi memastikan kerja baik pulih dapat dilakukan dengan segera.

“Tidak lama lagi musim tengkujuh akan tiba dan ia paling digeruni jemaah kerana kebocoran atap akan berlaku sehingga menyebabkan urusan beribadah tergendala,” katanya.

Ujar beliau, disebabkan itu sumbangan orang ramai diperlukan untuk memastikan masjid itu tetap gah dan memberi keselesaan kepada lebih 400 jemaah.

Zulkifli berkata, masjid itu dibina hasil gotong-royong penduduk.

“Menariknya, penduduk menggunakan baldi, tempurung dan upih untuk memunggah pasir dari Kuala Ketil selain dibantu oleh kerbau pada awal pembinaannya.

“Masjid ini meninggalkan banyak kenangan kepada penduduk,” ceritanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui cara berinfak dengan nilaian RM50 bagi satu lot.

Sumbangan boleh disalurkan melalui Bank Islam (BIMB) 0305 4010 0227 58 atas nama Tetuan Masjid Mukim Jerimbong atau hubungi 019-656 0272.