Kejadian Bella terkena air panas tidak berlaku: Polis

Siti Bainun
Siti Bainun
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa kejadian termos berisi air panas yang tertumpah pada badan remaja sindrom Down, dikenali Bella tidak pernah berlaku.

Inspektor Suhaili Mahad berkata, demikian ketika prosiding kes Siti Bainun yang didakwa atas kesalahan menganiaya, mengabaikan Bella sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Suhaili yang juga saksi pendakwaan ke-19 (SP-19) itu merujuk kepada satu kejadian membabitkan seorang penghuni Rumah Bonda dikenali Balqis yang dikatakan mengejar Bella kerana berebut makanan ringan sebelum remaja sindrom Down itu didakwa tertarik termos lalu air panas tersimbah di badannya.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, Suhaili berkata, polis percaya bahawa termos berkenaan tidak jatuh pada Bella kerana tiada kesan pecah dilihat pada bahan bukti tersebut.

Bagaimanapun, keterangan Suhaili dibantah oleh peguam, Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun dengan menyatakan bahawa saksi bukan seorang pakar untuk menyatakan dapatan berhubung keadaan termos itu.

Zilfinaz: Beliau (Suhaili) yang siasat semua saksi, jadi ia adalah dapatannya selaku pegawai penyiasat.

Mohammad Farhan: Suhaili bukan seorang pakar, untuk menentukan kerosakan termos berkenaan.

Zilfinaz: Tidak perlu pakar untuk lihat apa-apa kerosakan, sebab kita boleh lihat termos itu sendiri, mesti ada kerosakan jika jatuh.

Artikel Berkaitan:

Izralizam: Mahkamah ambil maklum bantahan daripada pembelaan, namun saya rekodkan jawapan saksi.

Bagaimanapun, saksi menjawab setuju selepas seorang lagi peguam, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menyatakan bahawa, pada 7 dan 8 Julai 2021, Siti Bainun memberi keterangan yang konsisten iaitu termos berkenaan jatuh atas badan Bella.

Pegawai polis itu berkata tidak ingat selepas beliau dicadangkan bahawa tiada keterangan daripada mana-mana saksi ketika siasatan dijalankan, bahawa termos itu jatuh ke lantai.

Dalam pada itu, Suhaili berkata, keterangan empat penghuni termasuk Siti Bainun berhubung insiden tertumpah air panas pada remaja sindrom Down, Bella seolah-olah berdasarkan skrip sama.

Menurutnya, salah seorang daripada empat penghuni Rumah Bonda iaitu (SP-5), Yasmin Nahar Mahmood, 19, memberitahu bahawa, mereka telah diberi skrip untuk memberi keterangan kepada pihak polis, di peringkat awal siasatan.

“Namun doktor yang merawat Bella mengesahkan bahawa remaja itu mempunyai kesan kecederaan lama dan baharu, sekali gus menunjukkan ia bukan hanya melibatkan kejadian air panas dari termos itu,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pihak polis telah mengambil 35 gambar tempat kejadian di sebuah kondominium di Wangsa Maju serta merampas dua barang kes iaitu termos dan satu tali berwarna putih.

Katanya, pasukan polis yang diketuai Asisten Superintendan Rohaini bersama jurufoto telah pergi ke tempat kejadian bagi tujuan merakam percakapan penghuni-penghuni Rumah Bonda di lobi kondominium itu.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.