Mahu sempurnakan projek landasan Singapura Kunming

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

JAKARTA - Malaysia dan China pada Isnin menyuarakan hasrat untuk menyempurnakan projek Laluan Rel Singapura-Kunming (SKRL), agar sistem pengangkutan awam yang cekap dalam perkhidmatan penumpang ataupun kargo dapat dinikmati negara-negara ASEAN.

Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong, menegaskan pendirian itu di Mesyuarat Menteri Pengangkutan ASEAN dan China ke-21 berlangsung di Bali, Indonesia.

Malaysia, merupakan pengerusi tetap jawatankuasa kerja khas SKRL.

Beliau berkata, Sekretariat ASEAN turut berkongsi pandangan sama, di mana keperluan mewujudkan perbincangan pembinaan pengangkutan rel merentas sempadan dan kerjasama projek rel baru yang melibatkan kesemua negara ASEAN, khususnya negara-negara ASEAN yang tidak terlibat dalam projek itu.

"Perbincangan di antara negara-negara ASEAN seperti ini amat penting kerana ianya melibatkan pembentukan pengiktirafan bersama dalam piawaian rel dan isyarat trafik, serta berkongsi maklumat dalam tahap pembangunan rel berkelajuan tinggi," katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Mesyuarat turut menghargai kepakaran teknikal dan bantuan kewangan daripada China kepada negara-negara ASEAN dalam projek SKRL, Rel Berkelajuan Tinggi China-Laos, dan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Malaysia sepanjang 665 kilometer yang dijangka siap pada tahun 2026.

"Pada keseluruhannya, Pelan Strategik Pelarasan dalam Usahasama ASEAN-China turut berjalan lancar meskipun kita menghadapi cabaran pandemik Covid-19 tiga tahun yang lepas," kata Dr Wee.

Timbalan Menteri Pengangkutan China, Dai Dongchang, mempengerusikan bersama secara maya mesyuarat itu dengan Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi. - Bernama.

Artikel Berkaitan: