KPM harus terbuka isu Cikgu Mohd Fadli: Nik Nazmi

Nik Nazmi. Lembaga Tatatertib KPM dijadual bersidang pada Isnin bagi membincangkan isu berkenaan.
Nik Nazmi. Lembaga Tatatertib KPM dijadual bersidang pada Isnin bagi membincangkan isu berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seharusnya lebih terbuka dalam menerima idea atau kritikan yang dilontarkan mengenai hal ehwal pelajar terutama daripada guru.

Menurutnya, ia berikutan di sebalik kritikan tersebut, guru sebenarnya hanya mahukan yang terbaik bagi masa hadapan pelajar mereka.

Ujar beliau, kritikan yang dilontarkan oleh seorang guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh berhubung hal ehwal pelajar baru-baru ini bukanlah suatu perkara yang tidak mempunyai asas.

“Saya percaya kritikan dilontarkan oleh Mohd Fadli bukanlah tidak berasas, sekiranya kita bertanya secara rawak kepada guru-guru tanpa sebarang tekanan, sudah tentu ramai akan mengemukakan pandangan yang sama.

“Guru adalah mereka yang melaksanakan dasar-dasar dibuat oleh KPM, sudah tentu mereka lebih mengerti apa berlaku di sekolah,” kata beliau menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut berharap semoga Mohd Fadli mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Moga Mohd Fadli akan mengemukakan representasi dan diadili dengan telus oleh KPM.

"Saya dikhabarkan beliau juga akan membawa hal ini ke mahkamah. Solidariti untuk Mohd Fadli!,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Mohd Fadli mendakwa bakal dikenakan tindakan buang kerja kerana menyuarakan isu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melibatkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Berdasarkan surat yang diterima daripada Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan KPM sebelum ini, beliau diminta membuat representasi secara bertulis dengan mengemukakan alasan dan bukti bagi membebaskan diri daripada kesemua pertuduhan itu dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat tersebut.

Jika gagal berbuat demikian, Mohd Fadli dianggap tidak mahu membela diri dan tindakan akan dikenakan berdasarkan keterangan yang sedia ada.

Lembaga Tatatertib KPM dijadual bersidang pada Isnin bagi membincangkan isu berkenaan.