Radzi Jidin ajak Cikgu Mohd Fadli berjumpa

Hantaran Mohd Radzi di Facebook beliau pada Ahad.
Hantaran Mohd Radzi di Facebook beliau pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengajak guru yang mendakwa berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan masalah yang dialami murid termasuk isu beg berat.

Mohd Radzi menerusi Facebook beliau pada Ahad berkata, beliau berharap dapat bertemu dengan guru terbabit, Mohd Fadli Mohamed Salleh.

"Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh.

"Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa," katanya.

Sinar Harian terdahulu melaporkan Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melibatkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Mohd Fadli dalam menerusi Facebooknya berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang masalah disiplin atau menghadapi masalah dengan ibu bapa murid.

Malah, Mohd Fadli turut berkongsi gambar surat bertarikh 22 September lalu yang menyatakan bahawa beliau boleh dikenakan tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat kerana berdepan tiga pertuduhan.

Pertuduhan itu ialah kerana memuat naik hantaran di platform media sosial Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga dituduh memuat naik hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar pada murid Tahun Satu dan menerusi pertuduhan ketiga, beliau didakwa mengadakan sesi Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak menggunakan Facebook.

Mengikut surat itu, bagi ketiga-ketiga perbuatan berkenaan, Mohd Fadli boleh ditafsirkan telah melanggar Peraturan 19(1)(c), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau diminta membuat representasi secara bertulis dengan mengemukakan alasan dan bukti bagi membebaskan diri daripada kesemua pertuduhan itu dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat tersebut.