Paras sungai lepasi tahap bahaya di Langkawi

Anggota APM Langkawi melakukan pemantauan banjir di Pulau Langkawi pada Ahad.
Anggota APM Langkawi melakukan pemantauan banjir di Pulau Langkawi pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah bersiap siaga memantau 32 kawasan 'hotspot' banjir di Pulau Langkawi.

Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah memberitahu, kesemua lokasi berkenaan dikenal pasti menerusi hasil pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah.

Menurutnya, antara kawasan 'hotspot' banjir di pulau itu termasuk Jalan Penarak, Sekolah Kebangsaan (SK) Langkawi, Pekan Kuah, Padang Matsirat dan Kampung Belibis.

"Beberapa kawasan 'hotspot' lain termasuklah Teluk Yu, Kampung Bayas, Kampung Mata Air, Kampung Ewa, Limbong Putra, Sungai Itau, Kuaters JPS Langkawi, Kampung Bukit Kemboja, Kampung Kuala Muda, Kampung Gelam dan Kuala Teriang.

"Selain itu, Sungai Menghulu, Taman Langkawi, Kampung Nyior Cabang, Kampung Syed Nahar, Kampung Tanjung, Kelibang, Pasar Padang Matsirat, Telaga Ayer Hangat, Kampung Buluh Penyumpit, Kubang Badak, Taman Wawasan Indah,Kampung Cherok Tokla, Kampung Tok Senik/Taman Harmoni, Kampung Mata Air, Kampung Chandek Kura dan Bohor Berendam," katanya ketika ditemui di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kota Setar di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di negeri ini yang tinggal di kawasan berhampiran pantai supaya berwaspada dan bersedia untuk berpindah sekiranya hujan lebat berterusan.

Tambah beliau, hujan lebat dijangka berlaku di kawasan utara Semenanjung hingga Sabtu ini berdasarkan notis ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Ketika ini, paras air sungai di Langkawi menunjukkan bacaan melebihi tahap bahaya iaitu Sungai Melaka di Padang Matsirat.

"Berikutan hujan tanpa henti, daerah Langkawi paling terkesan dan APM Kedah akan menghantar anggota ke pulau terbabit sekiranya keadaan menjadi serius," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebanyak 14 kawasan di empat mukim Pulau Langkawi dinaiki air susulan hujan lebat bersama angin kencang sejak jam 6 pagi Ahad.

Artikel Berkaitan: