Limpahan air busuk jejas pembelajaran

Limpahan air bukan sahaja membawa sampah-sarap yang melekat di pagar sekolah malah turut mengundang bau busuk sehingga menjejaskan pembelajaran. (Gambar kecil: Shahanim)
Limpahan air bukan sahaja membawa sampah-sarap yang melekat di pagar sekolah malah turut mengundang bau busuk sehingga menjejaskan pembelajaran. (Gambar kecil: Shahanim)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kolam takungan yang pernah tular sebelum ini kerana dipenuhi bunga berwarna ungu, kembali mendapat perhatian berikutan limpahan air busuk menjejaskan sekolah berhampiran.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, kejadian itu turut mengundang kebimbangan ibu bapa serta lebih 1,000 warga sekolah rendah yang terletak berhadapan dengan lokasi kolam berkenaan.

Menurutnya, bau busuk kemungkinan berpunca daripada sisa buangan dari kilang bersebelahan sebelum mengalir ke kolam dan longkang, telah melimpah berikutan kedudukan sekolah yang berada lebih rendah.

"Apabila hujan lebat, air melimpah hampir ke bangunan prasekolah, kita telah maklumkan kepada pihak berkenaan... ketika ini pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah beri respon, " katanya ketika ditemui pada Pelancaran Gerakerja JR Parlimen Sungai Petani dan Bengkel App MyJR di Dewan Seri Berangan di sini pada Ahad.

Laporan Sinar Harian pada Disember tahun lalu.
Laporan Sinar Harian pada Disember tahun lalu.

Menurut Shahanim, setakat ini, respon diterima bahawa JPS akan turun padang dan berbincang berhubung perkara itu memberi sedikit kelegaan.

Jelasnya, keadaan kolam yang tidak berpagar mendatangkan bahaya selain dikhuatiri mengandungi bahan kimia, menimbulkan bau kurang enak sehingga kadangkala menyebabkan murid sering mengadu sakit.

"Kita bimbang kesan jangka masa panjang yang tidak baik untuk kesihatan kanak-kanak dan warga sekolah, minta pihak berkaitan beri perhatian serius," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tahun lalu, sebuah kolam takungan dekat Taman Ria Jaya di sini tular berikutan pemandangan indah dipenuhi pokok bunga berwarna ungu, mengundang kehadiran orang ramai bagi melihat dengan lebih dekat.

Sinar Harian pada Disember lalu turut melaporkan, pokok kemeling yang dibiakkan bukan tujuan kecantikan kerana mengeluarkan bunga, namun berfungsi sebagai penyerap bau busuk.