UMNO Pontian usul Ismail Sabri PM ke-10 jika BN menang PRU15

Hasni (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian pada Sabtu.
Hasni (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - UMNO Bahagian Pontian mengusulkan supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai Perdana Menteri ke-10 seandainya BN memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Ketuanya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, usul berkenaan merupakan salah satu daripada tiga yang diputuskan sebulat suara pada Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO Pontian pada Sabtu yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

"UMNO Pontian bersetuju mengusulkan supaya Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO diangkat sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU15 nanti.

"Bagi kami, jaminan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah lebih sesuai dan tepat berbanding hanya sebagai 'poster boy' BN," katanya.

Media pada 18 September lalu melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN mengesahkan Ismail Sabri kekal sebagai 'poster boy' calon Perdana Menteri BN pada PRU15.

Hasni (duduk, tengah) bergambar pada Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian pada Sabtu.
Hasni (duduk, tengah) bergambar pada Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi UMNO dan BN Johor berkata, dua lagi usul yang dikemukakan UMNO Bahagian Pontian ialah menyokong siapa jua calon diputuskan pucuk pimpinan dan solidariti ahli parti.

"Sokongan tidak berbelah bahagi terhadap siapa jua calon parti adalah penting supaya semua jentera bergerak dan parti menang PRU15 nanti.

Artikel Berkaitan:

"UMNO Pontian juga mengusulkan solidariti antara ahli parti perlu dikuatkan serta diperkukuhkan dan kita perlu bergerak bersama memenangkan siapa jua calon dikemukakan parti walaupun ia dari parti komponen," katanya.