'Kalau UMNO parti 'keruh', buat apa cari?'

Mohamed Khalid (duduk, tengah) bergambar selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2022, di Dewan Serbaguna Mawar, di sini pada Sabtu.
Mohamed Khalid (duduk, tengah) bergambar selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2022, di Dewan Serbaguna Mawar, di sini pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - "Kalau UMNO parti 'keruh', buat apa ambil masa bertemu dan mencari (UMNO) ?" kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Norden mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan masih terdapat ‘kekeruhan’ membelenggu UMNO-BN melibatkan beberapa perkara; antaranya isu rasuah yang belum selesai.

Menurut Mohamed Khalid, kenyataan berkenaan hanya dilihat sebagai alasan untuk Abdul Hadi mencari 'jalan keluar' dan tidak meneruskan kerjasama dengan UMNO.

Malah katanya, kenyataan berkenaan juga hanyalah sebagai alasan bagi 'mewajarkan' tindakan menangguhkan kerjasama antara dua-dua parti.

"Soal rasuah tak rasuah tu biarlah mahkamah yang tentukan..ahli UMNO ada tiga juta, bukan semua kena hadap di mahkamah, bukan hanya berlaku dalam UMNO.

"Bagi saya itu hanyalah satu alasan.. katakanlah parti UMNO ni keruh, buat apa ambil masa untuk bertemu dan mencari? Dua kali dia mencari UMNO dan kenapa tubuh Muafakat Nasional? UMNO tak pernah cari Pas; Pas yang cari.

"Sebagai orang (parti) yang bawa agama dalam perjuangan, mana akhlak? Tolonglah jaga akhlak," katanya pada sidang akhbar setelah menyempurnakan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2022, di Dewan Serbaguna Mawar, di sini pada Sabtu.

Pas baru-baru ini mengumumkan penangguhan kerjasama dengan BN dan mengambil keputusan bekerjasama dengan Bersatu dalam PN pada PRU15 kelak.

Dalam pada itu, Mohamed Khalid berharap rakyat melihat PRU15 secara positif.

Katanya, PRU15 dilihat sebagai peluang terbaik negara untuk kembali berada pada landasan yang betul.

"PRU15 perlu dilihat dari sudut positif kerana secara keseluruhannya ia akan kembali mewujudkan politik yang stabil dan ekonomi yang kuat," katanya.