Ada cadangan minta tinggalkan UMNO, Pas tidak perlukan orang luar tentu hala tuju parti- Ahmad Yahya

SHAH ALAM - Pas tidak memerlukan orang luar untuk menentukan hala tuju parti itu belayar susulan terdapat cadangan agar meninggalkan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, dalam masa sama Pas juga diseru agar menjalin kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), malah menyertai Kerajaan Madani.
Menurut beliau, nampaknya terdapat pihak yang begitu prihatin terhadap hala tuju politik Pas dengan memberi cadangan dan menawarkan jalan baharu.
"Persoalannya, apakah mereka benar-benar memahami bagaimana Pas membuat keputusan politik?
"Pas bukan parti yang membuat keputusan di tepi jalan. Bukan juga parti yang mengubah haluan hanya kerana mendengar satu lontaran pandangan.
"Jauh sekali buat keputusan dulu, fikir dan bincang kemudian. Dalam Pas, keputusan besar tidak dibuat berdasarkan sentimen sesaat, fikir seminit, apatah lagi desakan pihak luar," ujarnya menerusi hantaran Facebook pada Rabu.
Tambah Ahmad, Pas mempunyai mekanisme dan disiplin organisasinya sendiri.
Jelasnya, jika melibatkan keputusan dasar, Majlis Syura Ulamak berperanan untuk meneliti dan memutuskannya.
"Jawatankuasa Harian dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pula akan bermesyuarat dan menimbang perkara-perkara besar berkaitan pendekatan politik dan strategi parti.
"Malah, jika sesuatu keputusan memerlukan mandat yang lebih besar, Muktamar Khas boleh dipanggil untuk memberikan ruang kepada perwakilan bersama-sama menimbang dan membuat keputusan.
"Begitulah tertib sebuah organisasi yang mempunyai sejarah perjuangan, prinsip dan struktur kepimpinan. Apatah lagi cadangan datang daripada mereka yang tidak pernah berhenti mengkritik Pas," katanya.
Beliau memberitahu, Pas mempunyai nakhoda, kompas dan peta perjuangannya sendiri.
"Tidak semua tangan yang dihulur mahu menariknya ke tempat yang selamat apatah lagi jika seruan untuk naik kapal yang semakin hampir karam
"Pelbagai pendekatan Pas dipertikaikan, keputusan disindir dan kerjasama dengan pihak lain dipersoalkan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

