'Saya tidak cabar, pertikai kuasa Agong'

Charles menyaman kerajaan berhubung pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Isnin lalu.
Charles menyaman kerajaan berhubung pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Isnin lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menjelaskan pihaknya tidak mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi perkenan Parlimen dibubarkan.

Sebaliknya, beliau mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memohon pembubaran Parlimen dibuat tanpa sokongan kabinet.

Menurutnya, ia disebabkan hanya 17 peratus ahli Parlimen UMNO menyokong pembubaran itu.

"Ahli Parlimen daripada parti lain tidak bersetuju dengan keputusan itu termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

"Jika semua ahli Parlimen PH dan PN menolak, angkanya 135 orang, merupakan majoriti yang jelas, " katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, daripada 80 menteri dan timbalan menteri, hanya 29 menteri daripada BN.

"Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, secara terbuka tidak bersetuju diadakan PRU15 pada tahun ini.

"Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut memberitahu yang Ismail Sabri tidak memaklumkan kepada kabinet mengenai pembubaran Parlimen," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Charles bertindak memfailkan saman terhadap kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung nasihat pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada musim banjir tahun ini.

Ia dibuat dua hari selepas Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 10 Oktober 2022 bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas mengenai perkara itu, Charles berkata, pada petang Jumaat, Tetuan Hafarizam, Wan Mubarak dan Aisyah telah hadir mewakili defendan iaitu Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Mereka telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula saya.

"Pendirian kami adalah jelas iaitu kami mencabar nasihat diberikan oleh Ismail Sabri kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.