Lelaki provok, pertikai kuasa anggota polis ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki diberkas setelah dipercayai membuat provokasi kepada anggota polis ketika ditahan di Jalan 45/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2 di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 5.45 petang mengenai seorang lelaki memberi ucapan menggunakan pembesar suara di jalan raya dan menghalang lalu lintas di lokasi tersebut.

Menurutnya, anggota polis yang digerakkan ke lokasi kejadian mendapati individu terbabit memegang sebatang kayu diikat bersama bendera parti politik dan memegang satu unit pembesar suara sambil berkempen mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Anggota polis memperkenalkan diri dan meminta individu tersebut untuk mengemukakan pengenalan diri namun suspek enggan memberikan kerjasama dengan membuat provokasi mempersoalkan kuasa pihak berkuasa.

"Pihak polis menasihati individu tersebut untuk beredar namun dia enggan dan sekali lagi bertindak melakukan provokasi dengan mempertikaikan anggota polis yang bertugas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, lelaki berusia 44 tahun itu kemudian ditahan bagi siasatan lanjut.

"Semakan mendapati individu ini mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga ketenteraman awam.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang," katanya.