15 anak yatim akibat Covid-19 terima bantuan YKM

Ismail Sabri (tengah) mendengar luahan daripada adik Nurul Syazana Muhammad Taufiq Robin yang kehilangan bapanya akibat jangkitan Covid-19 ketika acara menyampaikan Sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia, pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dekat Ayer Keroh, pada Jumaat. - Gambar Bernama
Ismail Sabri (tengah) mendengar luahan daripada adik Nurul Syazana Muhammad Taufiq Robin yang kehilangan bapanya akibat jangkitan Covid-19 ketika acara menyampaikan Sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia, pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dekat Ayer Keroh, pada Jumaat. - Gambar Bernama
A
A
A

MELAKA - Seramai 15 anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 menerima bantuan daripada kerajaan menerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), pada Jumaat.

Bantuan berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini.

Ibu kepada seorang penerima, M Sumathy, 52, berkata, bantuan berjumlah RM1,000 untuk dua anaknya berusia 16 dan 12 tahun itu, akan digunakan sebaiknya bagi membeli kelengkapan persekolahan mereka.

Berkongsi kisah sedih dilaluinya, Sumathy berkata, kehilangan suami D H Jayachandran Pillai, 57, pada Julai tahun lepas akibat Covid-19 sesuatu yang sangat berat untuk ditanggung apatah beliau hanya suri rumah sejak 16 tahun lepas.

"Saya mengambil masa kira-kira enam bulan untuk bangkit dan sepanjang tempoh itu saya tampung keluarga dengan jual besi buruk tetapi masih tidak mencukupi. Kini saya bekerja di pasar raya dan kehidupan semakin hari semakin baik untuk saya terus besarkan anak-anak,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, ibu saudara kepada Wan Noor Aziyah Wan Aziz, 8, yang hanya mahu dikenali sebagai Wana berkata, anak saudaranya itu kehilangan ibunya akibat Covid-19 dan dua bulan kemudian bapanya pula meninggal dunia akibat kanser usus.

"Kini saya menjaga dua beradik iaitu Wan Noor Aziyah dan kakaknya Wan Noor Adawiyah, 10, sekali gus menjadi tempat mereka mendapatkan kasih sayang ibu dan bapa,” katanya.

Ibu empat anak itu berkata, bantuan tersebut dapat mengurangkan sedikit tekanan kewangan memandangkan beliau hanya bergantung kepada suami.

Artikel Berkaitan:

Bagi Lim Yoke Teng, 56, kisahnya ibarat jatuh ditimpa tangga kerana selepas dibuang kerja ketika pandemik Covid-19 pada 2020, suaminya Foo Hee Liang, 58, pula meninggal dunia pada 2021 akibat wabak tersebut.

"Kini saya bergantung kepada bantuan yang diterima termasuk bantuan hari ini daripada YKM yang akan saya gunakan untuk perbelanjaan sekolah dua orang anak saya berusia 18 dan 16 tahun,” katanya. - Bernama