Ibu bapa kena tindakan jika anak cedera main mercun

Aiman Athirah
Aiman Athirah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan boleh dikenakan terhadap ibu bapa kepada kanak-kanak yang cedera akibat bermain mercun atas kesalahan pengabaian kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, ibu bapa perlu sentiasa memantau dan mengawasi anak-anak mereka ketika bermain mercun atau bunga api.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 sekiranya pengabaian berlaku.

“KPWKM ingin ingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak yang bergembira (bermain mercun atau bunga api), kerana kita tidak mahu perayaan berakhir dengan kesedihan.

“Anak-anak sepatutnya dipantau sentiasa dan jangan terlepas pandang. Sekiranya berlaku, jika di peringkat kementerian boleh ditafsirkan sebagai pengabaian yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Memacu Kehidupan:Hari Raya Aidilfitri 2023 anjuran Yayasan Petronas Asrama Akhlak (L) Kempas di sini pada Jumaat.

Aiman Athirah mengulas mengenai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan yang membenarkan aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun di negara ini.

Sehingga kini, dianggarkan lima kanak-kanak cedera akibat bermain mercun melibatkan kes di Kedah dan Terengganu.

Aiman Athirah memberitahu, walaupun kegiatan menjual mercun dan bunga api telah dibenarkan, itu bukan alasan untuk ibu bapa membenarkan anak-anak bermain tanpa pemantauan orang dewasa.